DUN Perak gantung Razman 6 bulan

DUN Perak gantung Razman 6 bulan

Ketua pembangkang Perak pada Disember dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN susulan beberapa kenyataan berkait pengibaran bendera asing pada Oktober 2024.

Razman Zakaria digantung enam bulan selepas majoriti ahli DUN bersetuju terhadap usul memperakukan laporan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. (Gambar Pejabat Menteri Besar Perak)
PETALING JAYA:
Adun Gunung Semanggol Razman Zakaria digantung enam bulan berkuat kuasa serta merta selepas DUN Perak meluluskan usul menggantung ketua pembangkang itu.

Usul berkenaan dibentang Ong Boon Piow (PH-Bercham), yang kemudiannya disokong Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup), pada sidang DUN Perak, hari ini.

Razman dikenakan tindakan berkenaan selepas dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN, pada 4 Dis 2024.

Penggantungan itu dibuat selepas majoriti ahli DUN bersetuju terhadap usul memperakukan laporan jawatankuasa tersebut, lapor Sinar Harian.

Pada Disember lalu, Razman dirujuk ke jawatankuasa berkenaan susulan beberapa kenyataan dikeluarkannya berkait isu pengibaran bendera negara China, di Teluk Intan, pada Oktober 2024.

Beliau juga didakwa cuba mengaitkan Adun Kepayang Nga Kor Ming dan Adun Pasir Bedamar Woo Kah Leong dengan perhimpunan itu, selain membangkitkan status warganegara sekumpulan mereka yang mengibarkan bendera negara asing itu.

Pada 11 Dis 2024, Razman yang juga pesuruhjaya PAS Perak memohon maaf kepada Nga, yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan berhubung kenyataan berunsur provokasi dalam isu kibaran bendera China berkenaan.

Katanya, setelah penelitian daripada sumber maklumat yang betul, Nga sama sekali tidak terlibat atau menyokong dalam program perarakan yang mencetuskan kontroversi itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.