Dewan Rakyat sudah dimaklum Dr Sam dilantik ketua pembangkang

Dewan Rakyat sudah dimaklum Dr Sam dilantik ketua pembangkang

Pejabat speaker Dewan Rakyat menerima pemakluman mengenai perlantikan itu pada pagi tadi.

Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar menggantikan Hamzah Zainudin, yang dipecat Bersatu pada Februari lalu susulan krisis kepimpinan dengan presiden parti Muhyiddin Yassin. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pejabat Speaker Dewan Rakyat mengesahkan telah menerima makluman daripada Perikatan Nasional (PN) mengenai pelantikan Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai ketua pembangkang baharu.

“Pejabat speaker baru sahaja menerima pemakluman daripada pejabat ketua whip PN mengenai pelantikan Ahli Parlimen Kemaman sebagai ketua pembangkang pagi ini,” katanya dalam kenyataan ringkas.

Pada Sabtu, Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan mengumumkan majlis tertinggi gabungan itu dalam satu mesyuarat di Kuala Lumpur bersetuju melantik Samsuri sebagai ketua pembangkang baharu.

Samsuri atau dikenali sebagai Dr Sam menggantikan Hamzah Zainudin, yang dipecat daripada Bersatu pada Februari lalu susulan krisis kepimpinan dengan presiden parti Muhyiddin Yassin.

Pada 12 April lalu, Samsuri berkata Hamzah bukan lagi ketua pembangkang dan beliau mengarahkan Takiyuddin menghantar surat rasmi memaklumkan kekosongan jawatan itu kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

Bagaimanapun, Johari kemudian dilaporkan berkata beliau masih belum dimaklumkan mengenai peletakan jawatan Hamzah.

Pada Februari lalu, Samsuri dilantik sebagai pengerusi PN menggantikan Muhyiddin yang meletak jawatan daripada jawatan itu.

Turut dipersetujui ialah PAS akan mengambil alih peranan sebagai ketua pembangkang di Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.