Putrajaya lulus RM16.45 bilion bangun kilang pasang helikopter di Melaka

Putrajaya lulus RM16.45 bilion bangun kilang pasang helikopter di Melaka

Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh berkata Weststar Group akan membangunkan kilang itu dalam tiga tahun di tanah seluas 6.88 hektar.

Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh (baju hitam) melawat tapak pembinaan kilang pemasangan helikopter di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di Batu Berendam hari ini. (Gambar Bernama)
MELAKA:
Kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan RM16.45 bilion bagi membangunkan sebuah kilang pemasangan helikopter di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam.

Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh, berkata kontrak pembangunan kilang itu diberikan kepada pengendali helikopter terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara, Weststar Group, yang akan dibangunkan dalam masa tiga tahun di tanah seluas 6.88 hektar.

Selain pembinaan kilang pemasangan helikopter, menurutnya, ia juga akan menjadi hab penyelenggaraan helikopter merangkumi perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

“Hari ini merupakan lawatan kerja pertama Weststar Group untuk melihat dan membuat kajian tentang kawasan yang dikenal pasti untuk membangunkan kilang pemasangan helikopter dalam kawasan LTAM.

“Dengan pelaburan berjumlah RM16.45 bilion daripada kerajaan persekutuan, ia akan memberi sinar baharu dalam industri aeroangkasa di Melaka dan kerajaan negeri akan memberi segala sokongan bagi memastikan projek ini disiapkan dalam tempoh tiga tahun dari sekarang.”

Katanya selepas lawatan tapak di LTAM bagi cadangan membina kilang pemasangan helikopter oleh Weststar Group. Turut hadir Pengerusi dan Pengasas Weststar Group, Syed Azman Ibrahim serta Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka, Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Beliau berkata projek nasional itu memberi peluang besar kepada Melaka daripada pelbagai aspek, antaranya menjadikan negeri itu hab MRO helikopter di rantau ini, sekali gus meningkatkan ekonomi negeri, selain menawarkan peluang pekerjaan khususnya dalam industri aeroangkasa kepada rakyat tempatan.

“Dengan adanya ‘Malaysian Flying Academy’ di Melaka juga, Weststar diberi amanah melahirkan 1,500 juruterbang helikopter dalam setahun bagi menyokong industri perkhidmatan pengangkutan udara di negara ini.”

Menurutnya, pembinaan kilang itu tidak akan menjejaskan penerbangan komersial di LTAM, sebaliknya memberi nilai tambah kepada industri aeroangkasa di Melaka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.