
Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan sebagai penyandang kerajaan Melaka, tetapi perkongsian dengan PAS boleh memaksa Umno menyerahkan beberapa kerusi.
Beliau juga berkata, kedudukan PAS yang lemah di Melaka menawarkan prospek yang terhad buat Umno untuk memperoleh kemenangan pilihan raya.
“PAS bukan kuasa besar di Melaka. Walaupun Umno boleh mendapat undi daripada penyokong PAS, jumlahnya tidak banyak. Malah, Umno perlu melepaskan kerusi untuk PAS bertanding,” katanya kepada FMT.
Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia berkata, walaupun pakatan itu boleh mengukuhkan sokongan Melayu di kawasan dominannya, BN mungkin akan ditolak di kerusi campuran dan majoriti Cina.
Tambahnya, pakatan sedemikian boleh memburukkan lagi polarisasi kaum di negeri itu dan berpotensi menjauhkan lebih ramai orang Melayu bandar di Melaka.
Berdasarkan data pilihan raya 2018, kebanyakan daripada 28 kerusi DUN Melaka adalah majoriti Melayu, walaupun kurang separuh mempunyai majoriti besar 70% atau lebih tinggi.
Sementara itu, pengundi bukan Melayu membentuk sebahagian besar pengundi di beberapa kerusi, malah membentuk majoriti di lima kawasan.
Pada Rabu, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menyeru partinya bekerjasama dengan PAS pada PRN Melaka, menyatakan bahawa perpecahan politik Melayu telah melemahkan pengaruh masyarakat itu walaupun di kawasan dominan.
Akmal juga menyangkal kebimbangan bahawa pakatan Umno-PAS akan mengetepikan golongan bukan Melayu dengan berkata, rangka kerja BN yang lebih luas akan kekal utuh untuk menjaga kepentingan masyarakat itu.
BN akan hilang sokongan bukan Melayu ditawarkan PH
Kedua-dua penganalisis memberi amaran, pakatan dengan PAS akan menjejaskan kedudukan BN sebagai gabungan berbilang kaum dan menyebabkannya kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu, yang selama ini diperkukuh melalui kerjasama sedia ada dengan PH.
“Umno sudahpun memegang sebahagian besar kerusi majoriti Melayu. BN berisiko semakin menjauhkan pengundi bukan Melayu (jika bekerjasama) dengan PAS, jadi saya tidak nampak keuntungannya,” kata Syaza.
Sebaliknya, Mazlan memberi amaran bahawa cubaan menguji pakatan dengan PAS di Melaka boleh merenggangkan lagi hubungan Umno yang sememangnya tegang dengan PH, dan membawa kepada pertembungan pada pilihan raya akan datang.
“Ada kemungkinan PH memilih bergerak solo dengan bertanding semua kerusi Parlimen dan DUN, bukan sahaja di Melaka tetapi di seluruh negara,” katanya.
Syaza dan Mazlan turut menyangkal hujah Akmal bahawa ‘penyatuan Melayu’ akan menjadi faktor penentu pada PRN Melaka, menyatakan bahawa sentimen sedemikian jauh kurang dominan di negeri itu disebabkan komposisinya yang berbilang kaum.
“Saya percaya ia masih bergantung pada isu-isu sara hidup, (kualiti) calon dan perkhidmatan Adun penyandang,” kata Syaza.
Mazlan berkata, idea penyatuan Melayu hanya akan menjadi faktor penting di kawasan yang pengundi Melayunya mendominasi daftar pemilih.
BN memenangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan pada PRN Melaka 2021, manakala PH memenangi lima dan PN memperoleh dua menerusi Bersatu.
Adun Rembia Jailani Khamis, sebelum ini ahli Umno, berpindah ke blok pembangkang selepas menyertai PAS pada 2023, sebelum undang-undang antilompat parti DUN berkuat kuasa.
PAS gagal memenangi sebarang kerusi pada PRN 2021, namun parti Islam itu menang dua kerusi Parlimen di Melaka pada PRU 2022 dengan merampas kubu kuat Umno sebelum ini, Jasin dan Tangga Batu.
Penggal lima tahun DUN Melaka akan berakhir pada Disember, dan PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.