
Menyertakan ilustrasi bangunan moden itu di Facebook, Bendahari PAS Iskandar Abdul Samad mengakui mungkin ada berpendapat reka bentuk itu tidak nampak seperti bangunan PAS yang ciri-cirinya masih dipersoal seperti keperluan pembinaan menara atau kubah.
Menurut bekas arkitek itu, beliau pernah membuat rekaan sebuah surau tanpa kubah kerana rumah ibadat berkenaan terbabit sendiri telah berperanan sebagai ‘penyaman udara’ selain tidak perlu menara tinggi kerana sudah ada pembesar suara untuk azan.
“Pada saya kompleks ini satu peluang untuk PAS memberikan mesej kepada dunia bahawa PAS sedang bergerak ke hadapan.
“Kompleks itu satu ‘signature building’ yang melambangkan aspirasi PAS untuk memimpin rakyat dan negara ke arah negara maju,” kata bekas exco Selangor itu.
Difahamkan, tapak pembinaan pusat pentadbiran baharu PAS itu terletak di Cyberjaya, menggantikan ibu pejabat sedia ada di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Iskandar berkata pemilihan reka bentuk awal itu dibincangkan dalam jawatankuasa kompleks PAS di mana beliau mencadangkan rekaan seperti Stadium Nasional Beijing, hasil cetusan arkitek terkenal Zaha Hadid.
“Yang ‘terbang-terbang’. Sudah tentu bukan macam masjid atau bukan standard rekaan JKR (Jabatan Kerja Raya).
“Akhirnya terhasil reka bentuk itu, tetapi kami masih terbuka kepada pandangan,” katanya mengakui mungkin ada profesional ‘old school’ atau orang lama tidak bersetuju dengannya.
“Tetapi bergerak dengan peredaran masa dan perkembangan trend terkini, hari ini kita bercakap berkait bangunan hijau, mampan dan reka bentuk mesra alam sekitar.”