
Lelaki itu antara suspek disyaki menculik mangsa berusia 16 tahun di Seremban pada 10 April dengan minta tebusan RM2 juta.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Fadil Marsus, berkata terdahulu suspek berusia 21 tahun itu cuba meloloskan diri ketika ditahan dan memandu secara melawan arus serta melanggar kenderaan polis.
“Mangsa kemudian ditinggalkan di Sendayan, Negeri Sembilan pada 8.30 malam Jumaat dan usaha mengesan suspek diteruskan yang mana kita percaya lelaki yang ditembak mati hari ini adalah salah seorang daripada suspek kes culik terbabit.
“Polis turut menemui sepucuk pistol serta parang dalam kenderaan suspek, manakala barang-barang masih menunggu semakan daripada pihak forensik,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, hasil semakan juga mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
Katanya, selain suspek ditembak mati itu, beberapa tangkapan dan serbuan dilakukan polis berhubung kes culik berkenan.
“Setakat ini, kes culik dengan permintaan wang tebusan berjumlah RM2 juta ini selesai dan maklumat terperinci mengenai berapa wang tebusan serta barang kemas yang dirampas akan dijelaskan selepas ini.”
Fadil berkata, sejumlah RM280,000 bersama sejumlah barang kemas telah diberikan kepada kumpulan penjenayah.