
Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Annuar Musa berkata penyokong Umno boleh memilih calon PN Abdul Muhaimin Malek bagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap parti itu yang menjadi sebahagian kerajaan di pusat dan Perak.
Dakwanya, wujud trend penghijrahan ahli Umno menyokong PN sejak PRU15 termasuk di DUN Ayer Kuning menyaksikan salah satu kubu kuat Barisan Nasional (BN) di pusat daerah mengundi (PDM) Changkat Petai dikuasainya.
“PAS kini jadi parti terbesar mewakili Melayu di Parlimen dan Perak, tidak jadi kesalahan untuk penyokong Umno menyokong PN (pada PRK Ayer Kuning).
“Ini peluang menyatakan pendirian dan kita yakin ramai mahu perubahan terutama dengan pelbagai isu seperti janji tidak ditunaikan, kenaikan kos sara hidup dan cukai,” kata bekas setiausaha agung Umno itu kepada FMT.
Annuar merujuk kedudukan PAS yang mempunyai 43 Ahli Parlimen manakala 18 Adun di Perak yang bertanding atas tiket PN pada PRU15.
PAS turut mengetuai pembangkang di DUN Perak menerusi Adun Gunung Semanggol Razman Zakaria.
PRK pada 26 April itu menyaksikan Muhaimin berdepan calon BN Mohamad Yusri Bakir dan wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM) KS Bawani.
Seramai 31,897 pengundi berdaftar di Ayer Kuning dengan pengundian awal ditetapkan pada 22 April.
PRK itu diadakan susulan kematian Adun Umno, Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lalu.
Ishsam menang kerusi itu pada PRU lalu dengan majoriti 2,213 undi dalam pertandingan lima penjuru.