
PRK berkenaan diadakan susulan kematian Bung Moktar Radin, pada 5 Dis.
Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan anak Bung, Naim Kurniawan, sebagai calonnya di Kinabatangan.
Warisan pula meletakkan bekas Adun Sukau, Saddi Abdul Rahman, manakala Goldam Hamid bertanding bebas.
Sementara itu, PRK Lamag menyaksikan saingan antara Ismail Ayob daripada BN dan Mazliwati Abdul Malik Chua mewakili Warisan.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Perikatan Nasional (PN) memutuskan tidak bertanding.
Bung meninggal dunia kurang seminggu selepas memenangi penggal kedua sebagai Adun Lamag pada PRN Sabah, pada 29 Nov.
Ketua Umno Sabah itu mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti tipis hanya 153 undi.
Allahyarham berusia 66 tahun juga Ahli Parlimen Kinabatangan enam penggal. Pada PRU 2022, beliau mengekalkan kerusi berkenaan dengan majoriti kukuh, 4,330 undi.
Seramai 48,722 pengundi, termasuk 196 anggota polis, layak mengundi pada dua PRK itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Jan, manakala pengundian awal masing-masing pada 10 dan 20 Jan.