Kerajaan belum teliti cadangan tambah kerusi Parlimen Sabah, Sarawak

Kerajaan belum teliti cadangan tambah kerusi Parlimen Sabah, Sarawak

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata cadangan itu perlu dibincangkan bersama parti kerajaan perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi berkata cadangan untuk menambah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak perlu dibincangkan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kerajaan masih belum meneliti cadangan meminda kuota satu pertiga atau 35% kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak kerana ia harus dibincangkan bersama parti komponen dalam kerajaan perpaduan, kata Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi.

Zahid yang juga presiden Umno berkata perkara itu juga perlu dibincangkan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kita belum meneliti kerana penelitian ini harus dilakukan dengan parti-parti komponen di dalam kerajaan Madani.

“Kita juga harus duduk dengan SPR mengenai perkara ini dan apabila tiba masa yang sesuai akan bincang bersama Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman rasminya di sini.

Beliau berkata berkata demikian ketika ditanya berhubung cadangan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof yang mahu rundingan bagi meminda kuota kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak itu dibuat secara bersemuka.

Fadillah berkata, pendekatan sama telah diambil Yang di-Pertua Negeri Sarawak Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika menyandang jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan undang-undang) sebagai usaha meminda Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan Perkara 160 itu dilaksanakan bagi memasukkan Perjanjian Malaysia (MA63), Laporan Cobbold dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

Pada November 2024, Fadillah dilaporkan berkata, pelaksanaan pertambahan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak hanya akan dimuktamadkan selepas PRU16.

Kali terakhir berlaku persempadanan semula melibatkan kerusi Parlimen adalah pada 2006, dengan Sabah dan Sarawak kini masing-masing mempunyai 25 dan 31 ahli, iaitu 56 kerusi atau kira-kira 25% daripada 222 kerusi.

Dalam perkembangan lain, Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata gabungan itu masih terbuka untuk mengadakan kerjasama dengan parti lain selepas BN Sabah umum kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di PRN akan datang.

Beliau berkata BN telah mengadakan pertemuan dengan PH dan parti-parti politik lain di Sabah mengenai kerjasama itu.

“Setakat ini rundingan tetap diteruskan dengan ramai pihak,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin mengumumkan parti itu akan bergabung dengan PH bagi menghadapi PRN Sabah akan datang.

Beliau yang juga Ketua Umno Sabah berkata, keputusan tersebut dimuktamadkan bagi menjawab persoalan banyak pihak berhubung dengan siapa Umno Sabah akan bekerjasama dalam PRN kali ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.