
Salleh berkata, BN ‘cukup besar’ untuk mereka yang berkongsi visi berkhidmat kepada rakyat, berbanding kepentingan peribadi.
“Kami menyeru kawan-kawan dan bekas rakan seperjuangan kembali dan menyokong BN,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Umno Semporna.
“Jangan kita dibelenggu masa lalu. Mungkin kita ada melakukan kesilapan masa lalu, namun ia memberi pengajaran kepada kita supaya tidak lagi mengulanginya.”
Rayuan dibuat bekas ketua menteri menjelang PRN Sabah, dijadual selewat-lewatnya diadakan pada Disember ini.
Pada PRU 2018 (PRU14), Umno Sabah dan BN hilang penguasaan sebagai kerajaan negeri, menjurus kepada ramai pemimpinnya menyertai Warisan, Bersatu, dan beberapa lagi parti tempatan.
Selepas BN tumbang, parti seperti Upko, PBS, dan LDP meninggalkan gabungan berkenaan, dengan Upko menyertai Pakatan Harapan (PH), manakala PBS dan LDP, menjadi komponen gabungan pemerintah kerajaan negeri kini, Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Salleh juga menyuarakan kerjasama BN dengan PH mampu memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat Sabah dan Malaysia.
“Perpaduan adalah kekuatan kita. Marilah ketepikan perbezaan dan fokus dalam urus tadbir baik, pembangunan, dan kestabilan kepada rakyat,” kata Salleh.