MIC yakin BN pertahan Ayer Kuning tapi sukar tingkat majoriti

MIC yakin BN pertahan Ayer Kuning tapi sukar tingkat majoriti

M Saravanan bimbang peratusan pengundi rendah terutama dari luar yang mungkin tidak pulang mengundi 26 April kerana baru sahaja kembali sambut Aidilfitri.

Timbalan Presiden MIC M Saravanan berkata persefahaman di peringkat bawah masih belum mencapai tahap memuaskan.
TAPAH:
Timbalan Presiden MIC M Saravanan yakin Barisan Nasional (BN) mampu mempertahankan DUN Ayer Kuning, namun berpendapat sasaran meningkatkan majoriti mungkin sukar bukan disebabkan kekuatan lawan.

Ahli Parlimen Tapah itu lebih bimbang dengan kemungkinan peratusan pengundi rendah terutama dari luar kawasan yang mungkin tidak pulang mengundi pada 26 April disebabkan baru sahaja kembali menyambut Aidilfitri pada hujung Mac.

Saravanan berkata, keadaan itu boleh menjejaskan hasrat meningkatkan majoriti 2,313 undi diraih pada PRU15 walaupun mendapat suntikan daripada penyokong Pakatan Harapan (PH)-rakan BN dalam kerajaan perpaduan.

“Kekangan kita pengundi luar khususnya penyokong tegar BN yang baru saja balik kampung sempena hari raya, mereka dah pun kembali untuk bekerja…jadi tak pasti untuk mengundi nanti memandangkan ada kos (pulang).

“Sebab itu saya kata yakin BN menang namun majoriti belum boleh pasti lagi,” katanya kepada FMT.

Walaupun BN tidak meletakkan sebarang sasaran majoriti untuk calonnya Mohamad Yusri Bakir pada PRK Ayer Kuning, Menteri Besar Perak Saarani Mohamad sasar komponen itu mampu meraih 18,000 undi.

Saarani, ketua Umno Perak yakin sasaran itu mampu dicapai berdasarkan gabungan BN-PH mempunyai undi asas dianggarkan 15,000, mengambil kira 9,088 undi dan 6,875 undi diraih dua komponen itu pada PRU15.

Pilihan raya itu menyaksikan Ishsam Shahruddin menang dalam pertandingan lima penjuru. Beliau meninggal dunia pada 22 Feb lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Ayer Kuning pada 26 April dengan penamaan calon hari ini dan membabitkan 31,897 daftar pemilih.

Perikatan Nasional (PN) mengumumkan Abdul Muhaimin Malek sebagai calon manakala Parti Sosialis Malaysia (PSM) meletakkan KS Bawani yang kalah pada PRU15.

Mengulas penerimaan kerjasama BN-PH, bekas menteri sumber manusia itu berkata persefahaman di peringkat bawah masih belum mencapai tahap memuaskan walaupun mereka tidak lagi menganggap musuh antara satu sama lain.

“Di peringkat pimpinan atas tiada masalah cuma di bawah masih belum boleh bekerjasama untuk tahap memuaskan sebagai satu pasukan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.