
BN diwakili Mohamad Yusri Bakir daripada Umno manakala PN mempertaruhkan ketuanya di Tapah Abdul Muhaimin Malek.
Yusri dan Muhaimin akan berdepan KS Bawani daripada PSM.
Pencalonan mereka diumumkan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori di Dewan Merdeka selepas proses penamaan calon ditutup pada 10 pagi.
Terdahulu, calon bertanding mula berarak menuju ke pusat penamaan sekitar 8.45 pagi sambil diiringi penyokong masing-masing.
Antara pemimpin kerajaan perpaduan yang hadir ialah Pengerusi BN Zahid Hamidi, Presiden MCA Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MIC M Saravanan, Naib Presiden Umno Johari Abdul Ghani dan Khaled Nordin, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR Chang Lih Kang, Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming serta Pengerusi BN Perak Saarani Mohamad.
Manakala pemimpin PN pula ialah Timbalan Pengerusi Hamzah Zainudin, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden Idris Ahmad dan Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan serta Naib Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.
Sementara calon PSM ditemani pemimpin utamanya iaitu Dr Michael Jeyakumar dan S Arutchelvan.
PRK itu diadakan susulan kematian Adun Umno, Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lalu.
Ishsam menang kerusi itu pada PRU lalu dengan majoriti 2,213 undi dalam pertandingan lima penjuru.
Terdapat 31,897 pengundi berdaftar di Ayer Kuning dengan pengundian awal ditetapkan pada 22 April.