
Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pada tahun ini sebanyak 9,869 kes kemalangan jalan raya direkodkan berbanding 9,461 kes dalam operasi sama tahun lepas.
“Jumlah kemalangan maut dalam tempoh pelaksanaan Op Selamat 24 bermula 29 Mac hingga 3 April lalu mencatat penurunan sebanyak 54 kes, iaitu 77 kes berbanding 131 kes pada tahun sebelumnya
“Turut berkurangan adalah jumlah kematian akibat kemalangan di mana 85 kematian direkodkan kali ini, berbanding 144 kematian pada tahun lalu,” katanya dalam Majlis Apresiasi Op Selamat 24 Sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.
Beliau berkata, penunggang dan pembonceng motosikal masih kekal sebagai penyumbang tertinggi angka korban.
“Jumlah 52 kematian direkodkan berbanding 93 pada tahun lalu, iaitu kurang 41 kematian,” katanya.
Katanya, sebanyak 91,774 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya juga dikeluarkan pihaknya dalam Op Selamat kali ini.
“Sikap dan amalan pemanduan yang tidak berhemah serta tidak mematuhi peraturan lalu lintas semasa tempoh musim perayaan menjadi faktor peningkatan tindakan saman dikenakan,” katanya.
Menurut Ayob, 432 lokasi panas dan 122 titik hitam dikenal pasti serta diberi perhatian di seluruh negara.
“Penguatkuasaan undang-undang menerusi sekatan jalan raya di lokasi kerap berlaku kemalangan maut antara pencegahan berkesan dalam mengurangkan kemalangan di lokasi terbabit,” katanya.