Lelaki mengaku tak salah rompak 2 wanita

Lelaki mengaku tak salah rompak 2 wanita

Abdur Razzaq Suppiah Abdullah, 36, didakwa kesalahan itu kira-kira 8.45 pagi di Kulai minggu lalu.

Abdur Razzaq Suppiah
Tertuduh, Abdur Razzaq Suppiah Abdullah, 36, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan terhadap harta milik dua wanita. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki didakwa di dua Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan terhadap harta milik dua wanita, minggu lalu.

Tertuduh yang juga bapa tunggal, Abdur Razzaq Suppiah Abdullah, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok dan Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, lapor Berita Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa merompak harta milik seorang wanita warga Indonesia berusia 52 tahun iaitu beg, pasport republik Indonesia, telefon bimbit, cincin dan rantai tangan serta dompet kecil dan sederhana yang mana ketika melakukan rompakan itu, tertuduh menyebabkan cedera parah terhadap mangsa.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di lorong belakang sebuah kedai di Jalan Sri Putra 1, Bandar Putra, Kulai dekat sini, kira-kira 8.45 pagi, 4 April lalu.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi satu lagi pertuduhan, dia didakwa merompak wanita tempatan berusia 37 tahun iaitu beg sandang, dua kad pengenalan, kad bank, telefon bimbit dan wang tunai RM200.

Kesalahan itu didakwa dilakukan itu di sebuah premis dobi layan diri di Jalan Impian Senai Utama, Taman Impian Senai, Kulai kira-kira 8.45 pagi, hari sama.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun dan sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Maisarah Hassan, tidak menawarkan jaminan, namun mencadangkan RM20,000 jika mahkamah ingin membenarkan tertuduh diikat jamin.

ManakalaTimbalan Pendakwa Raya Nur Farah Wahida Shahudin juga mencadangkan jaminan RM20,000 jika mahkamah berasa wajar tertuduh diikat jamin.

Abdur Razzaq yang tidak diwakili peguam memohon jaminan yang lebih rendah memandangkan dia menyara anak tunggal berusia 12 tahun.

Hakim Thalha dan Che Wan Zaidi membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing RM9,000 dan RM10,000 serta perlu melapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali, pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Dua kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 13 Mei depan bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.