Tiada rancangan ganti pekerja Menara KL, kata pengerusi LSH Capital

Tiada rancangan ganti pekerja Menara KL, kata pengerusi LSH Capital

Lim Keng Cheng berkata beliau menetapkan kebajikan kakitangan tidak boleh dikompromi ketika rundingan pengambilalihan operasi Menara KL.

kl tower
LSH Capital berkata antara penambahbaikan sedang dirancang termasuk menaik taraf kawasan teres, memperkenalkan bumbung boleh buka untuk dewan baharu serta menambah ciri pencahayaan khas.
PETALING JAYA:
Lim Seong Hai Capital Bhd (LSH Capital) menafikan khabar angin kakitangan sedia ada Menara Kuala Lumpur (Menara KL) mungkin digantikan di bawah pengurusannya sebagai dakwaan tidak berasas.

Pengerusi Bukan Eksekutif LSH Capital Lim Keng Cheng berkata visinya terhadap pengurusan Menara KL berteraskan nilai kasih sayang dan kesinambungan, khususnya dalam menjaga kebajikan semua kakitangan sedia ada.

Tokoh berpengalaman dalam sektor pembinaan dan pembangunan hartanah negara lebih 40 tahun itu berkata ketika rundingan pengambilalihan operasi Menara KL, beliau menetapkan kebajikan kakitangan tidak boleh dikompromi.

“Kami bukan datang untuk menyingkirkan sesiapa, sebaliknya untuk membina bersama,” katanya dalam temu bual bersama Bernama.

Lim Kheng Cheng
Lim Keng Cheng.

“Mereka telah berkhidmat di menara ini selama bertahun-tahun. Sebagai syarikat yang kini mengendalikan operasinya, saya tidak percaya kepada dasar menggantikan pekerja hanya kerana berlaku perubahan.

“Jika mereka tidak melakukan sebarang kesalahan besar, mengapa perlu digantikan?”

Setakat kelmarin, 95% atau 193 pekerja Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) telah menerima tawaran LSH Capital dan mula berkhidmat secara rasmi dengan syarikat itu sejak 1 April lalu.

Lim berkata beberapa penambahbaikan sedang dirancang, termasuk menaik taraf kawasan teres, memperkenalkan bumbung boleh buka untuk dewan baharu serta menambah ciri pencahayaan khas yang menonjolkan struktur tanpa menutup pemandangan ikonik terus ke Menara KL.

“Menara ini sebahagian daripada jiwa bandar. Walaupun menara lain dibina di sekeliling kita, kita tetap menjadi tumpuan.”

Bulan lalu, anak syarikat LSH Capital, LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM) menandatangani perjanjian pajakan dengan pesuruhjaya tanah persekutuan untuk konsesi 20 tahun mengendalikan Menara KL dan kawasan sekitarnya.

Perjanjian pajakan itu sejajar konsesi diberikan kerajaan yang meliputi pengurusan, operasi dan penyelenggaraan Menara KL serta kawasan sekitarnya.

LSHSM sepatutnya mengambil alih mercu tanda itu 1 April lalu, tetapi pertikaian tercetus selepas pengendali terdahulu MKLSB dan syarikat induknya, Hydroshoppe Sdn Bhd memulakan tuntutan mahkamah terhadap pemberian konsesi itu atas dakwaan pelanggaran kontrak dan salah laku.

MKLSB dan Hydroshoppe – yang enggan mengosongkan premis dan terus mengendalikan menara itu – menuntut RM20.13 juta kerugian dan ganti rugi serta pemindahan konsesi kepada mereka.

LSH Capital berkata ia akan melawan tuntutan itu dan terus memenuhi kewajibannya di bawah perjanjian 20 tahun.

Sebelum ini, Kementerian Komunikasi dilaporkan berkata kontrak pengurusan MKLSB tamat 31 Mac lalu.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan MKLSB dan Hydroshoppe untuk injunksi sementara bagi menghentikan pemberian kontrak pengurusan menara itu kepada LSHSM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.