Permohonan bekas pengendali Menara KL untuk mula prosiding komital ditolak

Permohonan bekas pengendali Menara KL untuk mula prosiding komital ditolak

Mahkamah Rayuan kata tiada merit dalam permohonan itu.

kl tower
Sebelum ini, Hydroshoppe dan MKLSB fail saman pelanggaran kontrak, menuntut ganti rugi RM1 bilion berhubung penamatan perjanjian konsesi Menara KL.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menolak permohonan bagi kebenaran yang difailkan oleh bekas pengendali Menara Kuala Lumpur untuk memulakan prosiding komital terhadap kerajaan, beberapa individu dan tiga syarikat.

Permohonan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) dan syarikat induknya, Hydroshoppe Sdn Bhd, ditolak oleh panel tiga hakim terdiri daripada Che Ruzima Ghazali, Firuz Jaffril serta Ong Chee Kwan.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Che Ruzima berkata tiada merit dalam permohonan itu untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding komital terhadap responden kerana menghina mahkamah.

Beliau turut memerintahkan MKLSB dan Hydroshoppe membayar RM20,000 sebagai kos perundangan kepada kerajaan, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, LSH Service Master Sdn Bhd, LSH Best Builders Sdn Bhd, dan Service Master (M) Sdn Bhd (yang mengambil alih operasi Menara KL).

MKLSB dan Hydroshoppe memfailkan permohonan kepada Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding komital terhadap semua responden atas dakwaan mengganggu pentadbiran keadilan semasa kes itu masih berjalan.

Sebelum ini, permohonan sama telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 9 Jun lepas.

Hydroshoppe dan MKLSB memfailkan saman pelanggaran kontrak terhadap semua responden, menuntut ganti rugi RM1 bilion berhubung penamatan perjanjian konsesi Menara KL.

Pada prosiding hari ini, Vinayak Sri Ram dan David Wong mewakili Hydroshoppe serta MKLSB selaku peguam, manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi hadir bagi pihak kerajaan dan Fahmi.

Arthur Wang pula mewakili LSH Service Master, LSH Best Builders dan Service Master.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.