
Ketua Polis Bahagian Ke-9, Piyawat Chalermsi, berkata lelaki berusia 61 tahun itu bertindak bersendirian dan menyamar sebagai pelanggan, sebelum memasuki sebuah kedai emas di Plaza Hat Yai, kira-kira 11.50 pagi, semalam.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek yang bersenjatakan pistol melarikan emas bernilai lebih kurang 9 juta baht (RM1.17 juta),” katanya menurut Bernama selepas melawat tempat kejadian, di Songkhla.
Beliau berkata, suspek yang mempunyai rekod lampau termasuk rompakan bersenjata lolos menggunakan motosikal.
“Polis telah menemukan motosikal yang dipercayai digunakan suspek tidak jauh dari lokasi kejadian, dan ia telah dihantar ke bahagian forensik untuk siasatan lanjut,” katanya.
Piyawat menegaskan pasukan keselamatan telah memperketat kawalan sempadan bagi menghalang suspek melarikan diri.
Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan polis Thailand bagi membantu siasatan kes itu.
“Setakat ini, pihak berkuasa Thailand sedang melakukan siasatan lanjut untuk memastikan identiti suspek sama ada benar merupakan warga Malaysia atau sebaliknya,” katanya.