
Ketua Polis Sungai Golok Thun Sirikhunt berkata, suspek dikenali sebagai Salip Samae, 27, dipercayai masih bebas dan berulang-alik antara Thailand dan Malaysia.
Salip dikehendaki pihak berkuasa Thailand susulan siasatan kes tembakan yang mengorbankan Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33.
“Siasatan mendapati suspek memiliki dwi kewarganegaraan yang membolehkannya mengelak daripada ditangkap dengan kerap melintasi sempadan antara dua negara jiran ini,” kata Sirikhunt, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, polis Thailand percaya Salip masih bersembunyi dan mengambil kesempatan menggunakan laluan haram untuk keluar masuk antara Thailand dan Malaysia.’
Katanya, semua balai polis di sepanjang sempadan Thailand-Malaysia telah dimaklumkan dan diberikan butiran suspek bagi membantu usaha memburu.
Selain itu, kawalan keselamatan di sepanjang Sungai Golok turut diperketat dengan anggota tentera ditugaskan di jeti haram dan laluan penyeberangan yang dikenal pasti.
“Kami telah memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik dan anggota tentera ditempatkan untuk mengawal jeti haram di sepanjang Sungai Golok bagi menghalang pergerakan rentas sempadan,” katanya.
Salip ialah adik kepada Alif Samae, 31, seorang lagi suspek dalam kes itu yang ditahan di bandar Sungai Golok pada 2 Nov, sehari selepas kejadian.
Pada November tahun lepas, Mahkamah Narathiwat mengeluarkan waran tangkap terhadap Salip berhubung kes pembunuhan itu.