
Berucap merasmikan pertandingan Inovasi Sosial Kesihatan Mental, di Serdang, beliau menyeru peranan kaunselor dan ibu bapa penting dalam membendung tindakan sedemikian di peringkat awal.
Beliau berkata, pihak kementerian telah melaksanakan beberapa langkah intervensi antaranya pelaksanaan profiling di sekolah mengenai psikososial murid bagi membangunkan ekosistem baik dan selamat untuk mereka.

“Saya khuatir dengan bilangan anak-anak kita yang membuat percubaan dan juga mempunyai ‘ideation, suicide ideation’ dan saya lihat sendiri bagaimana trend ‘barcode’…maknanya perkara (ini) perlu kita ambil secara serius dan tangani dengan betul,” katanya menurut Bernama.
Tinjauan Kesihatan Remaja (AHS) oleh Institut Kesihatan Umum Kementerian Kesihatan ke atas pelajar berusia 13 hingga 17 tahun, menunjukkan bilangan pelajar mempunyai idea membunuh diri meningkat kepada 13.1% pada 2022 melibatkan 4,300, berbanding 10% pada lima tahun sebelumnya.
Sementara itu, beliau berkata, usaha menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar memerlukan konsistensi serta kesungguhan kerana melibatkan jiwa manusia.
“(Sekolah perlu) ada ekosistem yang memberikan sokongan, ekosistem yang anak-anak selamat untuk bercerita, meluahkan perasaan dan berkongsi perasaan masing-masing,” katanya.
Fadhlina berkata, peranan pembimbing rakan sebaya (PRS) juga amat penting dan perlu diperkasakan lagi bagi memastikan ekosistem di sekolah selamat serta menarik.
“Bila kita membesar, kita bersekolah dan bekerja, PRS ini sebahagian daripada hidup kita dan sebab itu pemilihan PRS (penting). (Mereka) rakan-rakan yang akan membentuk siapa diri kita di masa hadapan, hari ini dan esok,” katanya.