
Tertuduh, P Veeran, 36; S Rohan Raj, 22; L Yuvarajan, 20, dan S Siva, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri, lapor Berita Harian.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka secara bersama didakwa dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada S Prabakaran, 55, iaitu risiko ditahan polis sehingga dengan curang mendorong lelaki itu menyerahkan wang RM18,000 kepada mereka.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah unit pangsapuri Desa Air Mas, Jalan Helang, Gelugor kira-kira 12.30 tengah malam, 21 Mac lalu.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda, atau turut disebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Syairah Aqilah Khalil dan M Darrshini mengendalikan pendakwaan manakala semua tertuduh diwakili peguam R Puran.
Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM8,000 setiap seorang, namun Puran memohon jumlah itu dikurangkan atas faktor kedudukan kewangan dan pendapatan anak guamnya.
Mahkamah membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin, selain melarang semua mereka daripada mendekati mangsa dan saksi pendakwaan serta menetapkan 28 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Nadratun Naim, Rohan dan Veeran turut didakwa menyamar dan mengaku sebagai anggota polis pada tarikh, lokasi dan masa yang sama.
Dakwaan dibuat mengikut mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Rohan turut didakwa memiliki senjata tiruan iaitu sepucuk pistol plastik, juga di tempat, tarikh dan masa yang sama dan dakwaan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960.
Nadratun Naim membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi setiap pertuduhan dengan masing-masing seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 28 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.