
Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu dikenali sebagai Chong Ong, 77, Teh Kim Kai, 76, dan Tan Ah Tak, 70.
Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sabarodzie Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.19 pagi menghantar sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah ke lokasi.
Katanya, mereka juga terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa terperangkap dalam kenderaan mereka.
“Kemalangan ini membabitkan sebuah Toyota Vios dan Proton X50.
“Enam orang terlibat dalam kemalangan ini dan seorang mangsa lelaki yang menaiki Toyota Vios mengalami kecederaan.
“Tiga daripada lima lelaki warga emas yang menaiki Proton X50 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan, manakala dua lagi mengalami kecederaan,” katanya, menurut Berita Harian.
Sementara itu, Ketua Polis Tapah Johari Yahya mengesahkan kejadian itu.
Katanya, mayat dibawa ke Hospital untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.