Hapus peranan PM lantik hakim bantu pulih imej kehakiman, kata Tengku Maimun

Hapus peranan PM lantik hakim bantu pulih imej kehakiman, kata Tengku Maimun

Ketua hakim negara itu berkata cadangan untuk meminda Akta JAC 2009 akan mengukuhkan lagi ketelusan dan keadilan dalam pemilihan.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata pelantikan hakim mesti benar-benar berasaskan merit dan bebas daripada sebarang persepsi pengaruh politik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menghapuskan peranan perdana menteri dalam pelantikan hakim boleh membantu mengikis persepsi wujudnya pengaruh politik terhadap badan kehakiman, kata Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau berkata, sejak kebelakangan ini terdapat cadangan supaya Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 dan Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi mengeluarkan peranan perdana menteri dalam proses pelantikan hakim.

“Perubahan sebegini, pada pandangan saya, akan mengukuhkan lagi ketelusan dan keadilan dalam proses pemilihan serta memastikan pelantikan hakim benar-benar berasaskan merit dan bebas daripada sebarang persepsi pengaruh politik,” katanya dalam ucapan di Persidangan Undang-undang Komanwel ke-24 di Malta.

Mengimbas kembali krisis kehakiman 1988 yang menjadi titik hitam kepada kebebasan badan kehakiman, Tengku Maimun berkata proses pelantikan hakim merupakan elemen penting dalam menjamin kebebasan institusi itu.

Walaupun Perlembagaan Persekutuan menetapkan proses pelantikan yang melibatkan rundingan antara perdana menteri, ketua hakim serta Yang di-Pertuan Agong, beliau berkata peruntukan sedia ada itu dianggap tidak mencukupi.

Justeru, kata beliau, Akta JAC 2009 diwujudkan bagi memperkukuh lagi kerangka perlembagaan sedia ada.

Katanya, JAC bertanggungjawab menghantar senarai calon bagi jawatan tertinggi kepada perdana menteri, yang kemudian akan menasihati Yang di-Pertuan Agong. Bagaimanapun, undang-undang itu memerlukan Agong bertindak atas nasihat perdana menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Bagaimanapun, perdana menteri boleh mengenepikan cadangan JAC, terutama dalam memutuskan pelantikan empat jawatan kehakiman tertinggi.

Tengku Maimun berkata, krisis kehakiman 1988 menunjukkan bahawa walaupun perlindungan perlembagaan menyediakan asas kukuh kepada kebebasan institusi kehakiman, namun ia tidak semestinya mencukupi untuk melindungi badan itu daripada tekanan luar.

Beliau berkata krisis tersebut – yang menyaksikan pemecatan Ketua Hakim Negara ketika itu, Salleh Abas, dan penggantungan lima hakim Mahkamah Agung – telah mencalarkan kepercayaan awam terhadap kebebasan badan kehakiman.

“Krisis itu meninggalkan titik hitam yang mendalam terhadap institusi ini, membangkitkan kebimbangan berkenaan campur tangan politik dalam urusan kehakiman,” katanya.

Salleh dilaporkan dipecat selepas beberapa keputusan mahkamah yang dianggap tidak memihak kepada kerajaan ketika itu yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad.

Tengku Maimun berkata selepas 1988, badan kehakiman dilihat ‘kehilangan kebebasan, semangat dan mungkin juga kewibawaan undang-undang serta moral untuk membuat keputusan’.

Bagaimanapun, katanya, institusi kehakiman negara kini telah kembali menegakkan kebebasannya dan mengembalikan peranannya sebagai pelindung tunggal kepada Perlembagaan Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.