
Pengawal keselamatan, Farit Ahmad, 38, dan tukang masak, Ahmad Razali Santiong, 59, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan bersama di depan Majistret Arun Noval Dass.
Berita Harian melaporkan majistret turut memerintahkan kedua-duanya dipenjara sebulan, jika gagal membayar denda itu. Mereka kemudian membayar denda.
Dua lelaki itu didakwa melakukan gaduh-gempar dengan cara memukul sehingga mendatangkan kegentaran kepada orang awam di Jalan Bahagia 1, Taman Bahagia, Ayer Hitam di Batu Pahat pada 6.20 petang 2 April lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, Ahmad Razali tidak memberhentikan keretanya selepas bergesel cermin sisi kenderaan utiliti sukan (SUV) Farit menyebabkan dia tidak berpuas hati dan berlaku pertengkaran, yang turut dirakam ahli keluarga seorang tertuduh hingga tular di media sosial.
Kejadian itu turut disaksikan beberapa individu sehingga mencetuskan kekecohan di tempat awam. Pergaduhan itu menyebabkan jalan raya sesak disebabkan orang ramai keluar berhari raya.
Dua tertuduh yang cedera ringan kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail. Susulan itu, kedua-duanya membuat laporan di Balai Polis Ayer Hitam pada hari sama.