Pempengaruh politik antara 2 suspek disiasat SKMM

Pempengaruh politik antara 2 suspek disiasat SKMM

SKMM berkata pempengaruh politik itu disiasat kerana buat sentimen perkauman termasuk isu lagu kebesaran negeri Perak.

politic influencer disiasat mcmc
Seorang suspek dirakam keterangan pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di ibu pejabat agensi itu di Cyberjaya hari ini. (Gambar SKMM)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka empat kertas siasatan terhadap dua individu termasuk seorang pempengaruh politik kerana muat naik kandungan menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R) di media sosial.

SKMM dalam kenyataan berkata, sesi rakaman percakapan bagi kedua-dua suspek dijalankan hari ini di pejabat SKMM, di Cyberjaya bagi membantu siasatan lanjut.

Menurutnya, seorang daripada individu terbabit merupakan pempengaruh dan aktivis politik yang menimbulkan sentimen perkauman melibatkan lagu kebesaran negeri Perak, pengambilalihan Menara Kuala Lumpur dan pemecahan monopoli Petronas dan Gas Malaysia Berhad.

“Satu unit telefon bimbit dan kad sim milik suspek disita bagi tujuan analisis forensik,” katanya dalam kenyataan, sambil menambah kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, telefon bimbit bagi seorang lagi suspek turut disita polis bagi siasatan atas kesalahan yang berlainan.

“Orang ramai dinasihatkan menggunakan platform media sosial dengan penuh tanggungjawab serta berhemah, dan tidak memuat naik sebarang kandungan berunsur 3R yang boleh mengancam keharmonian kaum dan agama di negara ini,” kata kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.