
Ancaman pelarian modal sememangnya satu realiti, mengambil kira dasar fiskal Malaysia sedang memacu bakat dan modal ke arah ekonomi serantau yang mempunyai sistem percukaian lebih mesra, kata Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) William Ng.
Beliau menyifatkan gesaan terbaharu mengenakan cukai kekayaan dibangkitkan bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, sebagai ‘langkah tindak balas’ kerana mengabaikan isu daya saing dan ketirisan. “Mengenakan lebih banyak cukai bukan jawapannya,” katanya kepada FMT.
Minggu lalu, Santiago mencadangkan cukai kekayaan 2% ke atas individu terkaya Malaysia, sambil menyatakan langkah itu dapat membantu menampung kekurangan fiskal RM10 bilion susulan pemotongan belanja kerajaan.
Cukai kekayaan tersebut dianggarkan mampu jana hasil melebihi RM1 bilion, memetik laporan 50 terkaya di Malaysia telah meningkatkan harta mereka sebanyak RM103 bilion dalam tempoh setahun, menjadikan jumlah kekayaan gabungan mencapai RM458 bilion.
Ng menegaskan pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebenarnya sudah pun berdepan dengan apa disifatkan ‘percukaian berganda yang bersifat menghukum’, melibatkan cukai korporat 24% dan cukai dividen 2%, diperkenal dalam Belanjawan 2025.
Katanya, ramai usahawan membina perniagaan mereka dengan usaha sendiri tanpa bantuan signifikan kerajaan. Beliau memberi amaran langkah mengenakan cukai tambahan bukan sahaja akan menyingkirkan golongan tersebut, malah akan memberikan dorongan kuat kepada ‘rakyat kita yang paling produktif mencari peluang di tempat lain’.
Ng berkata, sistem percukaian Malaysia kini menyebabkan negara kehilangan modal insan yang didakwanya menyebabkan ‘penghijrahan besar-besaran’, yang mana mereka beralih ke negara lebih mesra cukai seperti Singapura.
“Kita kehilangan sekitar 135,000 rakyat Malaysia setiap tahun. Ia menjadi penyebab utama Malaysia gagal mencapai pertumbuhan tahunan 8% hingga 9% yang sepatutnya boleh digapai,” katanya.
Anggaran Bank Dunia dan TalentCorp menunjukkan kira-kira 1.86 juta rakyat Malaysia menetap dan bekerja di luar negara, manakala kadar hijrah cendekiawan negara berada pada paras 5.5% daripada jumlah penduduk dalam usia bekerja.
Presiden Persatuan PKS Malaysia Chin Chee Seong, berkata Malaysia kini berdepan tekanan yang semakin meningkat daripada ekonomi jiran yang bersaing secara agresif menarik pelaburan dan individu bernilai bersih tinggi.
“Singapura lebih menarik bagi kebanyakan individu kaya dan perniagaan serantau kerana cukai korporatnya yang lebih rendah, sistem kewangan lebih kukuh, serta persekitaran dasar yang stabil. Thailand, Indonesia, dan Vietnam juga sedang bersaing hebat untuk menarik pelabur.
“Cara lebih baik adalah mengurangkan ketirisan, tambah baik kutipan cukai, meluaskan asas cukai secara adil, serta menggalakkan individu kaya dan usahawan melabur semula lebih banyak wang di Malaysia,” katanya.