
Ketua Polis Gua Musang Sik Choon Foo, berkata kesesakan berlaku di pintu masuk sempadan Gua Musang-Kuala Lipis sejak pagi tadi hingga 6.30 petang.
“Kesesakan bermula dari bandar Gua Musang hingga ke kawasan rehat dan rawat (R&R) Rantau Manis, kira-kira sepanjang 15km hingga 20km.
“Anggota polis menjalankan penyuraian dan penarikan trafik bagi membolehkan pergerakan lebih lancar,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, kenderaan bergerak perlahan dan pertambahan trafik dijangka berterusan hingga malam esok.
Sementara itu, aliran trafik di jalan keluar masuk Pasir Puteh-Terengganu termasuk di pintu sempadan Tok Bali-Kuala Besut dilaporkan lancar, namun perlahan setakat 6.30 petang.
Ketua Polis Pasir Puteh Zaizul Rizal Zakaria, berkata peningkatan jumlah kenderaan dari kedua-dua arah juga dijangka berterusan hingga malam esok.
“Aliran trafik di semua jalan di Pasir Puteh menuju ke sempadan Terengganu secara umumnya lancar, kecuali sedikit kesesakan di kawasan Wakaf Lichong.
“Sekiranya terdapat aduan kesesakan, anggota kami akan menjalankan pemantauan secara berkala melibatkan pasukan trafik dan unit kereta peronda,” katanya.