
Setiausaha akhbar kanan perdana menteri, Tunku Nashrul Abaidah, mengesahkan perkara itu kepada FMT ketika dihubungi.
Dalam satu mesej dikongsi dalam kumpulan WhatsApp Kementerian Kesihatan (KKM) untuk petugas media, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan semua penyediaan makanan bagi program esok diagihkan kepada pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan keluarga mangsa terbabit.
Anwar turut mengarahkan makanan itu turut diagihkan ke sekolah, asrama, rumah anak yatim dan rumah orang tua. KKM telah ditugaskan untuk mengetuai persiapan bagi sambutan berkenaan di Selangor.
Bagaimanapun, sambutan di negeri lain akan berjalan seperti biasa iaitu Pahang (11 April), Kelantan dan Pulau Pinang (12 April), Sarawak (19 April), Perak (25 April) and Perlis (27 April). Hari ini majlis sama berlangsung di Melaka.
Sementara itu, Menteri Besar Amirudin Shari berkata mewakili kerajaan negeri ini, beliau memohon maaf di atas segala kesulitan yang timbul susulan pembatalan itu demi menghormati mangsa dan keluarga terlibat insiden di Putra Heights.
“Sekalung penghargaan buat seluruh pasukan petugas dan pelaksana majlis yang bertungkus lumus memastikan majlis ini boleh berjalan sebagaimana matlamat, namun saya sangat menghargai persefahaman bersama demi maslahah yang lebih utama,” katanya.
Amirudin turut memaklumkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah juga telah memperkenan keputusan itu.
Kebakaran tercetus pada pagi Selasa itu telah memusnahkan satu seksyen sepanjang 500 meter saluran paip gas, mengakibatkan 111 orang cedera, kebanyakannya mengalami melecur dan masalah pernafasan.
Kejadian itu turut memusnahkan 225 kenderaan dan merosakkan 174 lagi.
Ia juga menyebabkan kawah sedalam 10m, selain merosakkan rumah serta harta benda dalam radius 500m dari lokasi kebakaran.