Usik meter elektrik, syarikat pemborong diperintah bayar lebih RM440,000

Usik meter elektrik, syarikat pemborong diperintah bayar lebih RM440,000

Mahkamah Tinggi dapati Siah Fishery Seafood bertanggungjawab pasang pengapit dalam meter, kurang rekod elektrik.

shah alam court
Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan Siah Fishery Seafood Sdn Bhd membayar RM444,444.40 kepada TNB selepas didapati meter elektriknya diusik sehingga kurang merekod penggunaan.
SHAH ALAM:
Mahkamah Tinggi di sini mengesahkan perintah agar pemborong makanan sejuk beku membayar pampasan lebih RM440,000 kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) selepas meter elektriknya didapati telah diusik.

Hakim Jamhirah Ali berkata, Mahkamah Sesyen membuat Keputusan yang tepat mempertanggungjawabkan Siah Fishery Seafood Sdn Bhd atas tindakan memasang pengapit di dalam meter tersebut.

Menurut mahkamah, pengapit itu menyebabkan meter kurang merekod penggunaan kuasa di premis syarikat itu.

“Ujian ketepatan menunjukkan hanya 7.16% kuasa yang digunakan direkod, dengan margin kerugian 92.84%,” kata Jamhirah dalam penghakiman bertulisnya bertarikh Mac 27.

“Ini bukan percanggahan kecil. Ia petunjuk jelas bahawa (kuasa) elektrik digunakan tetapi tidak direkod sepenuhnya.”

Hakim menyatakan bahawa salah seorang pekerja pemborong itu mengaku memasang pengapit, dalam keterangannya.

Katanya lagi, pemilik syarikat juga mengakui menggunakan peranti itu untuk mengurangkan caj elektriknya.

“Akibatnya, mereka mendapat manfaat daripada penggunaan elektrik yang tidak direkodkan sehingga merugikan TNB,” kata Jamhirah.

Siah Fishery pada mulanya memfailkan saman terhadap TNB, menuntut bayaran balik sebanyak RM236,057.60. Pihak syarikat berkata, jumlah yang dibayar itu tidak berasas kerana syarikat utiliti itu telahpun memutuskan bekalan elektrik ke premisnya pada 2022.

Bagaimanapun, mahkamah menolak pertikaian itu.

“Tiada bukti bahawa TNB memaksa syarikat itu untuk membuat pembayaran.

“Plaintif (Siah Fishery) secara sukarela membuat aturan pembayaran semasa sesi rundingan (dengan TNB) pada 2022,” kata Jamhirah, menolak saman Siah Fishery dengan kos.

Hakim bagaimanapun membenarkan tuntutan balas TNB untuk mendapatkan semula RM444,444.40, nilai elektrik digunakan syarikat itu yang tidak direkod.

Peguam Siah Fishery memaklumkan kepada FMT bahawa syarikat itu sedang merayu keseluruhan keputusan tersebut. Mahkamah Rayuan telah menetapkan rayuan tersebut untuk pengurusan kes pada April 29.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.