Tragedi saluran gas serlah kekeluargaan rakyat Malaysia

Tragedi saluran gas serlah kekeluargaan rakyat Malaysia

Rakyat sedar bahawa kita semua keluarga, kata Pengerusi Interfaith Spiritual Fellowship, Amir Farid Isahak.

Kuil Sri Maha Kaliamman yang menempatkan 200 mangsa dan menjadi pusat kecemasan sementara bagi mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Langkah pihak kuil dan masjid membuka pintu kepada mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights membuktikan rakyat saling memerlukan bagi menghadapi krisis, menurut pengerusi kumpulan antara agama.

Pengerusi Interfaith Spiritual Fellowship, Amir Farid Isahak, berkata rakyat pada masa genting ‘sedar bahawa kita semua keluarga dan saling memerlukan’, tanpa mengira latar belakang.

Beliau berharap masyarakat Islam mengingati usaha ahli jawatankuasa kuil Hindu terbabit, dan muhibah yang ditunjukkan akan mengeratkan hubungan antara penganut pada masa depan.

“Daripada membazir tenaga berkelahi dan bercakaran mengenai isu-isu, kita seharusnya membina komuniti muhibah yang kuat dan penyayang, serta berusaha ke arah negara yang benar-benar bersatu.”

Kuil Sri Maha Kaliamman, yang menempatkan 200 mangsa, serta Masjid Putra Heights, yang menempatkan 323 mangsa, menjadi tempat sementara bagi mangsa letupan saluran paip gas yang menggegarkan Putra Heights, semalam.

Bekas timbalan menteri perpaduan, Ti Lian Ker, berkata kebakaran itu sekali lagi menyerlahkan hakikat bahawa rakyat Malaysia akan merentas perbezaan kaum dan agama pada masa sukar.

Ti mengimbau gotong-royong serupa ketika banjir melanda Selangor pada 2021 dan semasa kempen bendera putih, iaitu suatu gerakan didorong komuniti bagi golongan yang memerlukan makanan dan barang keperluan ketika wabak melanda.

“Perkembangan ini sesuatu yang melegakan dan dialu-alukan, terutama selepas ‘panas’ daripada rancangan penempatan semula sebuah kuil Hindu di Kuala Lumpur,” katanya kepada FMT, merujuk kepada Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.

Ti berkata pemimpin agama dan politik serta Kementerian Perpaduan Negara harus mengetengahkan kisah-kisah ini.

Beliau berkata pemimpin agama atau politik selalunya akan melontar isu perkauman atau agama dan memperjuangkan komuniti sendiri, lalu secara tidak sengaja memburukkan keadaan.

“Sayang sekali cerita yang menyentuh hati seperti ini kebanyakannya tidak diendahkan sedangkan ia patut ditonjolkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.