Lapangan terbang Pulau Pinang bakal perkenal MyBorderPass

Lapangan terbang Pulau Pinang bakal perkenal MyBorderPass

Sistem sedang dalam peringkat perancangan dan proses tender telah pun bermula.

PIA
Exco kata PIA laksana inisiatif bagi mengurangkan kesesakan di kaunter imigresen dan meningkatkan kecekapan keseluruhan proses pelepasan. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) akan memperkenalkan sistem MyBorderPass dan pintu pagar automatik dalam masa terdekat bagi mengoptimumkan lagi proses imigresen serta pelepasan.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Wong Hon Wai kata sistem itu sedang dalam peringkat perancangan dan proses tender telah pun bermula.

“Inisiatif itu dapat membantu mengurangkan kesesakan di kaunter imigresen, meningkatkan kecekapan keseluruhan proses pelepasan, dan pelancong tidak lagi perlu berbaris panjang semasa waktu puncak. Pengunjung dari 63 negara dan wilayah layak menggunakan sistem pintu pagar automatik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengetuai delegasi pemain industri pelancongan Pulau Pinang ke PIA untuk mesyuarat bersama pengurusan lapangan terbang.

PIA kini dilengkapi 35 kios daftar masuk layan diri, dengan 15 dikhaskan bagi AirAsia manakala selebihnya 20 lagi untuk Scoot, Cathay Pacific dan Malaysia Airlines.

Beliau berkata pihak pengurusan lapangan terbang sedang berbincang dengan syarikat penerbangan lain untuk memperluas penggunaan kemudahan layan diri, di samping memastikan 35 kios ditempatkan di lokasi strategik.

Wong berkata lapangan terbang itu baru-baru ini menambah lima kaunter layan diri untuk penyerahan bagasi yang pada masa ini hanya tersedia untuk penumpang Malaysia Airlines.

Pihak pengurusan lapangan terbang sedang berbincang dengan syarikat penerbangan lain bagi memperluas perkhidmatan itu kepada lebih banyak syarikat penerbangan.

Mengenai projek pengembangan PIA, Wong berkata setakat pertengahan Mac tahun ini, kerja-kerja fizikal fasa pertama yang merangkumi bangunan tambahan dan kerja-kerja berkaitan mencapai kemajuan 32%, keseluruhan projek masih mengikut jadual dan dijangka siap sebagaimana perancangan.

Untuk tempoh Januari hingga Februari tahun ini, jumlah pergerakan penumpang di PIA mencecah 1.37 juta, meningkat sebanyak 17.35% berbanding 1.17 juta penumpang dalam tempoh sama 2024.

Dengan peningkatan berterusan jumlah penumpang dan kekerapan penerbangan, beliau berkata 16 ruang letak pesawat sedia ada tidak mencukupi untuk menampung permintaan pada masa hadapan.

“Oleh itu, pelan pengembangan ini, termasuk penambahan 12 ruang parkir baharu… menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 28,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.