
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata Malaysia selaku pengerusi Asean tahun ini, menjadi tanggungjawab Jabatan Imigresen memastikan proses keluar masuk lancar di pintu masuk utama negara.
“Tahun ini, kita akan menjadi tuan rumah hampir 400 mesyuarat di peringkat pegawai, pegawai kanan, menteri dan juga ketua negara yang dikendalikan Wisma Putra dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Untuk proses masuk, mereka guna sistem biasa, tetapi proses keluar kita benarkan mereka guna laluan untuk kod QR,” katanya selepas meninjau Gate Kod QR MyBorderPass dan Sistem Smart Q di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.
Ketika ini, beliau berkata, penggunaan sistem kod QR hanya boleh digunakan rakyat Malaysia bagi urusan keluar masuk negara di Terminal 1 dan 2 KLIA.
Setakat ini, 40 unit autogate kod QR dipasang membabitkan 20 unit di Terminal 1 dan 20 di Terminal 2 KLIA untuk ketibaan serta pelepasan dengan kos keseluruhan pemasangan RM19.2 juta.
“Hingga kini, 400,000 rakyat Malaysia telah memuat turun aplikasi MyBorderPass bagi memudahkan penggunaan sistem pelepasan kod QR itu.
“Pengguna hanya perlu log masuk dan sistem ini membolehkan pelepasan dilakukan dalam masa 60 saat (purata empat saat),” katanya sambil menambah pasport masih perlu dibawa bersama, namun tiada proses cap secara fizikal kerana maklumat disimpan secara elektronik.
Beliau berkata, jumlah penggunaan keseluruhan yang direkodkan setakat ini ialah 55,000 pengguna dalam tempoh 11 hari sejak dilancarkan 1 Jan lalu.
Menurutnya, sistem kod QR itu dirancang diperluas ke lapangan terbang antarabangsa utama lain, seperti Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching dan Langkawi.
Berkongsi pengalamannya menggunakan sistem kod QR itu, Saifuddin berkata, tempoh pelepasan imigresen hanya mengambil empat saat berbanding 15 hingga 25 saat menggunakan pintu automatik konvensional.
Beliau mengguna pakai sistem kod QR itu sebelum berlepas ke Abu Dhabi pagi ini bagi menyertai lawatan rasmi bersama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.