
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut menjalankan pemantauan setiap hari bagi meneliti proses peralihan tersebut sebelum ia dilaksanakan pada suku kedua tahun ini.
“KDN sekarang ada pasukan yang setiap hari duduk bermesyuarat memantau proses peralihan ini …mereka akan pantau di mana yang ada gangguan,” katanya pada Majlis Luncheon Talk YB Menteri Dalam Negeri Bersama Media di Shaftsbury Asteria Cyberjaya.
Saifuddin turut memberi jaminan bahawa tiada risiko berlakunya kecurian atau kebocoran data sepanjang tempoh peralihan tersebut kerana ia akan dikendalikan oleh vendor baharu yang membangunkan sistem dan membekalkan infrastruktur.
Isnin lepas, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Zakaria Shaaban menjelaskan tiada pertindihan fungsi berhubung pelaksanaan sistem MyNIISe, MyBorderPass dan MyDigital ID, kerana setiap satunya mempunyai fungsi tersendiri.
Zakaria berkata demikian susulan timbul beberapa hantaran tular yang mengelirukan berhubung pelepasan imigresen melalui kemudahan ‘autogate’ menggunakan aplikasi-aplikasi tersebut.