
“Lama kami sekeluarga hidup susah, hingga kami sudah terbiasa. Setiap kali raya, biasa sahaja. Anak-anak pun sudah besar,” kongsi kartunis terkenal itu kepada FMT.
Bukan hanya berdepan isu muflis, Ujang juga ketika itu berdepan berbelas saman daripada syarikat penerbitan yang mengedarkan majalah lawak popularnya, selain memiliki hutang RM1.8 juta dengan syarikat percetakan.
Ujian hidup yang datang bertalu-talu ketika usianya baru menginjak 30-an begitu menekan sehingga dia kadang-kadang hilang kewarasan.
“Mula-mula muflis, saya panik. Saya lupa anak isteri. Saya lupa orang sebab tahap hilang waras itu, bukan sikit-sikit. Saya sampai bawa batu nisan berjalan ke hulu, ke hilir.
“Saya keluar rumah, tumpang lori, tumpang kereta, tahu-tahu sampai ke Tasik Kenyir (Terengganu). Saya tumpang bot orang, masuk ke dalam Taman Negara. Saya keluar masuk dengan hanya tumpang rumah bot orang, sehinggalah hari raya.
“Mujur ada orang kampung tahu saya ada di sana, mereka datang dan bawa saya keluar menyambut hari raya,” kongsinya yang kehilangan banyak memori pahit sepanjang 24 tahun itu.

FMT sebelum ini pernah menyiarkan kisah Ujang yang berputih mata apabila syarikat penerbitan mendakwa memiliki hak cipta ke atas nama dan karakter ‘Ujang’ yang diilhamkannya, malah turut beberapa kali menyamannya.
Ujang dilarang daripada menghasil, mencetak serta menjual apa jua karya di bawah jenama itu menyebabkan dia tidak mampu membayar hutang percetakan jutaan ringgit.
Bapa kepada empat cahaya mata itu terpaksa menjual semua asetnya dan mencagar perniagaannya untuk melunaskan hutang percetakan sehingga selesai.
Ujang bernasib baik apabila dibebaskan daripada status muflis selepas menerima pelepasan di bawah Seksyen 33A Akta Insolvensi 1967, Julai tahun lalu.
“Empat orang anak saya, sambung belajar dalam keadaan saya muflis. Bila bebas status muflis, anak bongsu saya berjaya tamatkan pengajian dalam ijazah sarjana”.
Bukan hanya isteri, anak-anak terkesan
Ketika berada di kemuncak kejayaan, Ujang turut mempunyai lebih 70 orang pekerja. Apa yang menarik, ibunya di kampung tidak tahu menahu kisah kejayaan anaknya itu.
“Mak saya tak pernah tahu saya buat apa. Dia tahu saya lukis kartun sahaja. Satu hari, kakak saya bawa mak abah datang ke pejabat saya di Kuala Lumpur.
“Mak marah saya. Kau kerja apa? Ini pejabat siapa kau duduk? Mana kau ambil duit buat ini semua?,” ceritanya yang kini aktif menganjurkan pertandingan memancing, Monsoon Casting Tournament (MCT) setiap tahun, dengan kerjasama kerajaan Terengganu dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Sebaik Ujang terpalit isu hak cipta, dia kembali ke kampung, membuatkan ibunya bimbang.
“Satu masa anak dia terkenal dan orang kata kaya-raya, tiba-tiba merempat. Mak saya tidak faham. Dia tak tahu apa-apa tentang tanda dagang, hak cipta. Saya hanya beritahu, ‘orang tipu’.
“Lepas itu mak saya marah lagi ‘itulah engkau, dulu mak suruh jual roti canai, kau nak berniaga besar-besar. Tengok kawan kau elok je sekarang berniaga kuey teow,” cerita Ujang, yang sedang mengusahakan usahasama dengan Yeo’s Malaysia, sempena hari raya.
Kini, Ujang giat mendaftar harta intelek bagi melindungi karyanya kerana enggan pisang berbuah dua kali.