Hutang RM5.28 juta, Jovian Mandagie diisytihar muflis

Hutang RM5.28 juta, Jovian Mandagie diisytihar muflis

Pereka fesyen itu berhutang dengan syarikat kejuruteraan yang memberi pinjaman persahabatan.

jovian
Tahun lalu, Jovian Mandagie diperintahkan Mahkamah Tinggi bayar nilai pinjaman kepada Cekap Air selepas membenarkan penghakiman terus dimohon syarikat. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi (Bahagian Insolvensi) Kuala Tinggi mengisytiharkan pereka fesyen Jovian Mandagie muflis selepas gagal membayar pinjaman persahabatan kepada sebuah syarikat pembinaan kejuruteraan berjumlah RM5.28 juta.

Keputusan itu dibuat Penolong Kanan Pendaftar Muhammad Faisal Zulkifli pada susulan membenarkan petisyen pemiutang dikemukakan syarikat Cekap Air Sdn Bhd, yang difailkan pada 20 Nov 2024.

Menurut petisyen itu, Jovian selaku penghutang penghakiman, dalam masa enam bulan sebelum tarikh petisyen berkenaan, telah melakukan perbuatan kebankrapan, iaitu gagal mematuhi notis kebankrapan bertarikh 21 Mei tahun lalu.

Ia menyatakan Jovian berhutang kepada Cekap Air RM 5,284,340.66 termasuk faedah setakat 21 Mei 2024, iaitu jumlah perlu dibayar berikutan penghakiman terus oleh Mahkamah Tinggi pada 2 April tahun lalu melalui kes saman utama.

Peguam Siti Nur Athirazatti Rohizad mewakili syarikat itu, berkata pihaknya memfailkan notis kebankrapan selepas Jovian gagal mematuhi penghakiman terus diputuskan Mahkamah Tinggi.

Penghakiman terus merujuk kepada suatu permohonan difailkan plaintif untuk mendapatkan penghakiman daripada mahkamah tanpa perlu melalui proses perbicaraan, lapor Berita Harian.

Nur Athirazatti berkata, selepas mendapat kebenaran untuk mengeluarkan notis berkenaan, pihaknya kemudian memfailkan petisyen pemiutang, yang dibenarkan mahkamah.

“Jovian ada memfailkan permohonan menggantung dan membatalkan notis serta petisyen berkenaan, tetapi semuanya ditolak oleh mahkamah,” katanya.

Pada 2 April tahun lalu, Jovian diperintahkan Mahkamah Tinggi membayar RM5 juta kepada Cekap Air selepas membenarkan penghakiman terus yang dimohon syarikat itu.

Pada 16 Mei 2023, syarikat berkenaan memfailkan saman terhadap Jovian kerana didakwa gagal membayar semula wang RM5 juta yang dipinjamkan atas dasar pinjaman persahabatan.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, syarikat terbabit mendakwa Jovian adalah kenalan kepada pengarah syarikat Cekap Air, Yong Zhen Wei.

Cekap Air mendakwa, ia meminjamkan RM5 juta kepada Jovian atas permintaan lisan pereka fesyen itu pada 25 Feb 2022, dan memindahkan wang berkenaan ke akaun pelanggan firma guaman yang mewakili Jovian.

Menurut Cekap Air, firma guaman terbabit mengesahkan penerimaan wang itu atas arahan defendan.

Rayuan Jovian terhadap penghakiman terus melalui saman utama akan didengar 15 Sept ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.