PM saran undang-undang lindungi hak cipta, karya tempatan dari AI

PM saran undang-undang lindungi hak cipta, karya tempatan dari AI

Anwar Ibrahim berkata ini bagi memastikan kekuatan daya cipta dan keupayaan seorang pengkarya seni tidak tersekat.

Peluncuran Buku Melukis Dengan Hati Biografi Perjalanan Seni 50 Tahun Karya Zunar
Perdana Menteri Anwar Ibrahim (tiga kiri) dan Zulkiflee Anwarul Haq atau Zunar (dua kanan) pada Majlis Peluncuran Buku Melukis Dengan Hati: Biografi Perjalanan Seni 50 Tahun Karya Zunar di Pustaka Raja Tun Uda.
SHAH ALAM:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyarankan supaya peruntukan perundangan diwujudkan bagi melindungi hak cipta dan ketulenan karya tempatan susulan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Sehubungan itu, Anwar berkata Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital perlu mengambil langkah segera demi memastikan karya seni tempatan dilindungi dan tidak terdedah kepada ancaman akibat ledakan teknologi AI, termasuk plagiat.

“Tentang masalah hak cipta ini, jaminan bukan sahaja kepada kartunis tetapi juga melibatkan filem, puisi dan karya lain yang kadang-kadang berdepan isu hak cipta disebabkan perkembangan AI.

“Perlindungan undang-undang ini bagi memastikan kekuatan daya cipta dan keupayaan seorang pengkarya seni tidak tersekat disebabkan isu hak cipta atau ketulenan sesebuah karya yang dihasilkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran buku ‘Melukis Dengan Hati: Biografi Perjalanan Seni 50 Tahun Karya Zunar’ di Pustaka Raja Tun Uda.

Turut hadir, isteri perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Hadir sama, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor Mastura Muhamad dan Zulkiflee Anwarul Haque atau dikenali sebagai Zunar.

Dalam pada itu, Anwar juga mahu lebih ramai tenaga pakar tempatan berkaitan teknologi AI dilahirkan supaya teknologi berkenaan di negara ini berkembang sejajar nilai dan norma masyarakat Malaysia.

Perdana menteri berkata dasar sedia ada berkaitan AI tidak pernah mengetepikan atau memisahkan nilai tempatan, namun generasi muda tetap perlu dilatih menguasai ilmu supaya apa sahaja yang ‘dimuntahkan’ AI turut mengambil kira pandangan tempatan.

“Semua mengaku AI ini teknologi baharu tetapi kita tahu apa yang dilontar dan dimuntahkan AI adalah menerusi apa yang dimasukkan atau dilakar oleh negara barat terutama Amerika Syarikat, China dan lain-lain.

“Saya setuju kebimbangan berkenaan AI tetapi kita juga tidak menyampingkan dan pisahkan elemen budaya, agama dan nilai dalam dalam dasar negara kita mengenai teknologi AI,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.