Iman, jati diri berpadu dalam keluarga Ta Honn Yu

Iman, jati diri berpadu dalam keluarga Ta Honn Yu

Ta Honn Yu kekal guna nama asal diberikan keluarganya sebelum memeluk Islam pada 2016.

Pasangan Ta Honn Yu dan isterinya Mahfuzatul Izyan Zainir ceria menyambut perayaan masing-masing bersama keluarga tersayang. (Gambar Ta Honn Yu)
PUTRAJAYA:
Setiap kali Aidilfitri, rumah Ta Honn Yu atau nama Islamnya Amir Robert Ta Honn Yu dipenuhi ahli keluarga dari sebelah isteri dan dirinya. Bergelar muslim sejak 2016, identiti Cinanya tetap utuh.

Penjawat awat berusia 31 tahun itu kekal menggunakan nama asal diberikan keluarganya dalam setiap urusan rasmi termasuk di tempat kerjanya di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Malah dua anaknya hasil perkahwinan dengan Mahfuzatul Izyan Zainir sejak 2019 turut diberi nama Cina iaitu Ta Qii Ann, 4, dan Ta Qii Zheng berusia setahun. Nama Islam bagi Ann adalah Hidayah manakala Zheng dikenali Taufik.

“Saya mahu tunjuk kepada masyarakat bahawa Islam itu indah, tidak memaksa sesiapa menukar identiti asal mereka.

“Yang berubah cuma cara ibadah, tetapi jati diri sebagai seorang Cina tetap kekal,” katanya kepada FMT.

Ta menjelaskan beliau bersandarkan kepada al-Quran dalam surah Al-Ahzab ayat 5 (33:5) yang berhujah seseorang tidak perlu menukar nama asalnya selepas masuk Islam selagi tidak mempunyai makna bercanggah dengan Islam.

Hikmah kahwin campur

Berkahwin dengan Mahfuzatul, membuka lembaran baharu buat Ta yang pulang ke kampung halaman isterinya di Ipoh untuk menyambut Aidilfitri.

Ta Honn Yu berkata tiada paksaan dalam Islam untuk menukar identiti asal seseorang itu asalkan tidak bercanggah dengan syarak.

Pada pagi Syawal, beliau akan menyarung baju Melayu lengkap dengan sampin dan menunaikan solat sunat Hari Raya bersama keluarga sebelum menikmati rendang ayam dan daging merah hasil air tangan ibu mentuanya.

Isterinya juga turut belajar menghargai budaya suaminya seperti makan menggunakan penyepit, menghiasi rumah dengan tanglung ketika Tahun Baharu Cina, sehinggalah menggemari buah limau mandarin setiap kali pulang ke kampung halaman Ta di Muar.

“Pada mulanya memang janggal, tapi lama-lama kami jadi biasa. Perkahwinan campur ini ajar kami untuk memahami satu sama lain, bukan sekadar menerima pasangan, tapi juga keluarganya.

“Keluarga saya yang berbangsa Cina boleh duduk semeja dengan keluarga Melayu isteri saya, berbual mesra tanpa rasa kekok,” katanya.

Bagi memastikan perpaduan terus subur, Ta dan isteri juga aktif berkumpul bersama rakan pasangan kahwin campur lain dengan mengadakan jamuan menghidangkan makanan tradisional kaum masing-masing.

“Tujuan utama bukan sekadar menikmati makanan, tetapi merasai makna sebenar perpaduan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.