
Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Abu Bakar Jais sebulat suara memutuskan bahawa isu dibangkitkan lelaki berusia 47 tahun itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.
“Semakan kehakiman ini termasuk satu deklarasi bahawa pemohon bukan lagi seorang Muslim. Perkara ini telah diputuskan sebagai berada dalam bidang kuasa mahkamah syariah. Setelah dianggap dalam bidang kuasa itu, maka perkara ini perlu dirujuk kepada (mahkamah itu).
“Kami tidak berpendapat ada isu yang dibangkitkan. Justeru, permohonan ini ditolak kerana pemohon gagal melepasi ambang di bawah Seksyen 96(a) dan 96(b) Akta Kehakiman Mahkamah 1964,” kata Abu Bakar.
Tiada perintah kos dikeluarkan kerana mahkamah berpandangan kes ini menyentuh kepentingan awam.
Turut bersidang bersama beliau ialah Hakim Nallini Pathmanathan dan Hakim Nordin Hassan.
Pemohon berkenaan berkahwin dengan seorang wanita Islam pada 2010 namun pasangan itu bercerai lima tahun kemudian.
Pada 2016, dia memfailkan permohonan di Mahkamah Syariah untuk keluar daripada Islam, namun sebaliknya diarahkan mengikuti sesi kaunseling.
Mahkamah kemudian menolak permohonan itu dan mengarahkan sesi kaunseling tambahan. Rayuannya ke Mahkamah Rayuan Syariah juga ditolak.
Selepas itu, dia membawa kes ke mahkamah sivil untuk membatalkan keputusan Mahkamah Syariah serta mendapatkan pengisytiharan bahawa dia berhak kembali kepada agama asalnya.
Pemohon diwakili peguam Iqbal Harith Liang dan Firdaus Danial Tan, manakala Peguam Kanan Persekutuan Hanir Hambaly mewakili kerajaan.