
Hakim M Nantha Balan yang mempengerusikan panel tiga hakim berpendapat rayuan lelaki itu tidak mempunyai merit.
Turut bersidang Hakim Nazlan Ghazali dan Azmi Ariffin.
Lelaki berusia 47 tahun itu berkahwin dengan seorang wanita Islam pada 2010. Bagaimanapun, mereka bercerai lima tahun kemudian.
Pada 2016, dia memfailkan permohonan di Mahkamah Syariah untuk meninggalkan Islam, tetapi diarahkan untuk menghadiri ‘sesi kaunseling’.
Mahkamah Syariah kemudian menolak permohonannya dan memerintahkan dia menjalani sesi kaunseling selanjutnya.
Rayuan lelaki itu di Mahkamah Rayuan Syariah juga ditolak.
Dia kemudian ke mahkamah sivil untuk membatalkan keputusan Mahkamah Syariah dan memohon perisytiharan bahawa dia berhak menganut kepercayaan asalnya.
Cabaran undang-undangnya ditolak Mahkamah Tinggi pada 2023.
Nazlan, yang membacakan penghakiman hari ini berkata, mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes daripada Mahkamah Syariah.
“Ini bukan kes dia tidak pernah menjadi Muslim tetapi meninggalkan (Islam).
“Kami menegaskan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk mendengar kes-kes ini dan mahkamah sivil tidak boleh campur tangan,” katanya.
Mahkamah juga menyatakan Mahkamah Syariah telah menolak permohonan lelaki itu untuk meninggalkan Islam atas alasan bukti dikemukakan ‘tidak mencukupi’.
“Dia boleh memohon semula di Mahkamah Syariah,” kata Nazlan, sambil menyatakan terdapat kes yang berjaya.
Mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos.
Lelaki itu diwakili peguam Iqbal Harith Liang dan Firdaus Danial Tan manakala Peguam Kanan Persekutuan Idayu Amir mewakili kerajaan.