Penyelamat selamatkan haiwan peliharaan, pemilik diminta tampil

Penyelamat selamatkan haiwan peliharaan, pemilik diminta tampil

Sukarelawan bomba temui haiwan peliharaan yang ditinggalkan ketika kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.

wo dogs
Dua anjing ditemui penyelamat dan diberi oksigen serta titisan IV kerana terhidu asap.
PETALING JAYA:
Sukarelawan bomba menyelamatkan dua ekor anjing yang ditinggalkan ketika kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, dan merayu pemilik agar tampil mengambil haiwan peliharaan mereka.

Ken Foo, yang mengetuai briged sukarelawan Seers, berkata pasukannya temui anjing-anjing itu ketika meronda kawasan perumahan yang ditinggalkan.

“Kami lihat dua anjing itu di dua rumah berbeza. Kedua-dua haiwan kelihatan terpinga-pinga dan tidak dapat berjalan.

“Mereka juga diikat. Kami bebaskan mereka dan bawa ke hospital veterinar di Taman Megah,” katanya kepada FMT.

Setibanya di hospital, anjing-anjing yang terhidu asap itu diberi oksigen dan titisan IV.

“Pihak hospital baik hati kerana menjalankan rawatan secara percuma, bersekali dengan pemeriksaan darah.”

Selain anjing, tiga ekor arnab dan seekor tikus Belanda turut diselamatkan. Namun arnab dan tikus Belanda lebih bernasib baik kerana telah diambil pemilik masing-masing, katanya.

“Kami gesa pemilik anjing ini untuk menghubungi kami dan bersatu semula dengan anjing mereka,” katanya.

Sesiapa yang mempunyai maklumat atau ingin menuntut semula haiwan peliharaan boleh menghubungi briged Seers di talian 012-6088871.

Saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni marak terbakar pagi tadi. Kebakaran merebak ke beberapa rumah, lalu memaksa penghuni meninggalkan kediaman masing-masing.

Lebih 100 kediaman dan kenderaan terjejas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.