Anjing dipukul sampai mati, NGO gesa saksi tampil buat laporan

Anjing dipukul sampai mati, NGO gesa saksi tampil buat laporan

SAFM mahu pihak polis dan DVS siasat selepas video insiden kejam di Ipoh tular.

Menurut SAFM, seekor anjing peliharaan dilihat dipukul dengan kejam oleh anak pemiliknya dalam rakaman tular berhubung insiden dikatakan berlaku di Ipoh.
PETALING JAYA:
Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) menggesa orang awam yang menyaksikan insiden seekor anjing dikatakan dipukul hingga mati oleh seorang lelaki, segera tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa.

SAFM berkata, insiden kejam yang tular di media sosial itu dikatakan berlaku di Ipoh, di mana anjing peliharaan itu dipercayai dipukul dengan kejam oleh anak pemiliknya sendiri.

“Dalam rakaman tular, kelihatan ibu suspek cuba menghalang perbuatan tersebut, namun dia enggan berhenti daripada terus memukul haiwan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

“SAFM menyeru saksi kejadian tampil membuat laporan segera di balai polis berhampiran serta melaporkan kes ini kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).”

SAFM turut menggesa pihak berkuasa menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 30 Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Pesalah boleh dikenakan hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000, atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.