
Ketua Polis Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail, berkata aduan diterima berhubung 10 lelaki terbabit pergaduhan pada 12.19 tengah malam Isnin, dengan seorang daripadanya cedera dan mendapat rawatan di Hospital Ampang.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati seorang lelaki membuat provokasi menyebabkan seorang lagi individu menghubungi rakan lain sebelum pergaduhan tercetus.
“Ketika mereka berada di Balai Polis Hulu Kelang, salah seorang daripadanya menumbuk muka dan menendang badan individu lain,” katanya menurut Harian Metro.
Azam berkata, suspek terbabit ditahan kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis.
Menurutnya, enam lelaki berusia 20 hingga 40 tahun itu ditahan pada 2.30 pagi semalam, di mana dua daripadanya mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Katanya, semua suspek direman tiga hari hingga esok untuk disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis.