
Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) dalam kenyataan bersama syarikat induknya, Hydroshoppe Sdn Bhd, berkata sebarang tindakan pengambilalihan terhadap Menara KL oleh Lim Seong Hai Capital Berhad (LSH Capital) melalui anak syarikatnya, LSH Service Master Sdn Bhd, harus menunggu keputusan perbicaraan di mahkamah.
Pengarah Urusan MKLSB, Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, menekankan bahawa pihaknya berpegang kepada proses undang-undang dan berharap agar semua pihak berkepentingan menghormati prosedur yang sedang berjalan.
“Kami menyeru agar semua pihak mematuhi proses perundangan dan mengelakkan tindakan terburu-buru yang boleh mencetuskan ketegangan.
“Sebarang pengambilalihan hanya boleh dilakukan selepas keputusan muktamad oleh mahkamah,” menurut kenyataan.
Jumaat lalu, MKLSB dan Hydroshoppe dilapor menyaman kerajaan berhubung pemberian konsesi bagi menara tersebut kepada LSH Capital.