
Program Permata Makmur merupakan inisiatif kerajaan Pahang yang memberikan bantuan sekali beri RM300 kepada bayi warganegara dilahirkan bermula tahun lalu di negeri itu, serta ibu atau bapa kepada bayi mestilah berusia 16 tahun ke atas.
Menerusi inisiatif tersebut, RM250 diberikan dalam bentuk pembukaan akaun atau penambahan deposit Simpan SSPN Prime, manakala baki RM50 diberikan dalam bentuk barangan bayi.
Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim, berkata usaha kerajaan negeri mencerminkan komitmennya menyantuni rakyat Pahang, khususnya dalam aspek simpanan dan pendidikan.
“Alhamdulillah, saya difahamkan bahawa program ini telah menerima sambutan yang amat menggalakkan semenjak diperkenalkan.
“Jika dilihat, dalam tempoh Januari 2024 hingga 1 Okt 2025, seramai 11,853 bayi kelahiran baharu telah menerima insentif ini yang disalurkan melalui akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM2.96 juta,” katanya dalam kenyataan.
PTPTN akan terus melaksanakan pelbagai program dan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat. Maklumat lanjut dan permohonan Program Permata Makmur boleh dibuat secara dalam talian melalui permatamakmur.pahang.gov.my.
Dalam pada itu, PTPTN turut menyantuni dan beramah mesra bersama ibu melahirkan cahaya mata di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, dengan pihaknya menyumbang RM10,000 untuk 50 kelahiran bayi baharu bulan ini.
Di bawah program Junior Superhero itu, sumbangan berkenaan melibatkan pembukaan/ penambahan akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM100 dan cenderahati berupa hamper barangan bayi bernilai RM100 kepada setiap penerima.
Sehingga September 2025, jumlah terimaan deposit Simpan SSPN di Pahang adalah RM634.54 juta dengan 387,408 akaun telah direkodkan.