
David berkata, tindakan melabel rumah ibadat itu bukan sahaja penghinaan malah tindakan yang tidak menghormati masyarakat Hindu dalam negara.
“Pagi ini (semalam), saya amat terkejut dan sedih apabila mendapati banyak kuil Hindu di Malaysia dilabel sebagai ‘haram’ di Google Maps.
“Banyak kuil ini telah wujud selama lebih 50 tahun, terutama di kawasan estet dan pinggir bandar di mana pekerja India telah lama menetap dan menyumbang kepada pembangunan negara.
“Melabelkan kuil ini sebagai ‘haram’ adalah satu bentuk diskriminasi dan tidak menghormati kepelbagaian budaya di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Malaysia terkenal dengan keharmonian antara kaum dan agama, namun insiden seperti ini mengancam perpaduan dan boleh menyemai kebencian yang tidak sepatutnya berlaku.
“Saya mendesak menteri komunikasi (Fahmi Fadzil) mengambil tindakan segera dengan bekerjasama dengan Google bagi menghapuskan label yang menghina ini.
“Google Maps tidak sepatutnya menjadi platform untuk menyebarkan kebencian atau diskriminasi terhadap mana-mana agama,” katanya.
Kejadian itu dipercayai susulan kontroversi pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India untuk memberi laluan kepada pembinaan masjid yang mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai.
Jakel Trading Sdn Bhd memperoleh tanah itu pada 2012 dan lapan tahun kemudian mendapat kebenaran membina sebuah masjid, namun menangguhkan proses itu bagi ‘menghormati’ pemindahan kuil.
Selasa lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa mengumumkan kuil itu akan dipindahkan 50m dari lokasi semasa.
Jawatankuasa kuil bersetuju ia dipindahkan ke lokasi baharu berkeluasan 4,000 kaki persegi, sepadan dengan saiz rumah ibadat itu.