
Seruan itu disuarakan tiga platform digital utama iaitu Meta, TikTok dan Google, yang menegaskan komitmen bersama untuk memastikan keselamatan kanak-kanak dan remaja dalam talian melalui pendekatan menyeluruh.
Perkara itu dikongsikan mereka sempena Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026, yang menghimpunkan wakil media sosial bagi menerangkan ciri keselamatan siber dan kawalan ibu bapa (parental control) yang ditawarkan.
Wakil Meta Amirah Amir berkata pihaknya telah melaksanakan ciri Teen Accounts secara automatik kepada semua pengguna bawah 18 tahun di Instagram sejak September 2024, dengan tetapan keselamatan yang lebih ketat.
“Data menunjukkan 90% remaja berusia 13 hingga 15 tahun memilih untuk kekal dengan tetapan keselamatan ketat tersebut,” katanya.
Meta turut memperkenalkan Family Center, iaitu sebuah hab pusat yang membolehkan ibu bapa memantau masa penggunaan aplikasi, senarai pengikut serta menetapkan had penggunaan tanpa melanggar privasi mesej anak-anak.
Sementara itu, wakil TikTok Aliff Zakaria pula berkata platform berkenaan menyediakan lebih 50 ciri keselamatan bagi melindungi pengguna muda, termasuk melalui fungsi Family Pairing.
“Family Pairing membolehkan ibu bapa memantau aktiviti anak, menetapkan had masa penggunaan, mengawal kandungan yang boleh ditonton serta menentukan siapa yang boleh menghantar mesej kepada mereka,” katanya.
Beliau menambah, ibu bapa juga boleh menetapkan jadual ‘away time’ seperti waktu tidur dan waktu persekolahan bagi mengelakkan penggunaan berlebihan.
Wakil Google Putri R Alam pula berkongsi usaha pihaknya menyediakan perlindungan merentasi semua produknya termasuk Google Search, YouTube, Google Play dan sistem operasi peranti menerusi kawalan umur.
Menurutnya, pendekatan itu lebih selamat kerana ibu bapa hanya perlu menetapkan umur anak pada peranti, dan setiap aplikasi akan menyesuaikan kandungan secara automatik tanpa memerlukan perkongsian data peribadi tambahan.
Google turut menyediakan panduan keibubapaan digital serta sumber pendidikan untuk membantu keluarga memahami risiko dalam talian seperti pendedahan data peribadi, kandungan tidak sesuai dan ancaman ‘bad actors’ di ruang siber.
Penganjuran HKI menjadi platform penting dalam menyatupadukan peranan kerajaan, industri dan keluarga bagi membina masyarakat digital yang berdaya tahan dan berpengetahuan.
Inisiatif itu juga menekankan kepentingan penggunaan internet secara selamat, beretika dan bertanggungjawab khususnya dalam melindungi kanak-kanak, remaja serta institusi keluarga.