
Ketua Polis Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kertas siasatan itu dibuka susulan satu laporan polis yang dibuat anggota penguat kuasa terlibat hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas dan mereka yang terlibat akan dipanggil untuk direkodkan keterangan dalam masa terdekat.
“Kita memberi jaminan bahawa polis akan menjalankan siasatan secara telus dan adil mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
“Tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, tular di media sosial klip video menunjukkan anggota penguat kuasa DBKL didakwa mengasari seorang penjaja belon dipercayai tanpa lesen di kawasan itu, mengundang kecaman warganet.
Dalam klip video tersebut, beberapa kumpulan individu, dipercayai peniaga lain, turut dilihat ‘bertempur’ dengan penguat kuasa, menyebabkan kekecohan.
DBKL hari ini yang tampil menjelaskan situasi yang menurutnya sebenarnya berlaku berkata beberapa penjaja tanpa lesen termasuk penjual belon didapati menjalankan perniagaan di laluan pejalan kaki, menghalang pergerakan orang ramai dan menyebabkan kesesakan.
Katanya, apabila teguran diberikan semua penjaja berkenaan beredar tetapi seorang penjaja belon enggan mematuhi arahan dan terus berniaga seperti biasa.
Menurut DBKL, ketika teguran ketiga diberikan, penjaja belon tersebut bertindak agresif dan berlaku sentuhan fizikal apabila beliau menolak petugas penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas.