‘Kalau seorang saja ‘siok’ buat keputusan, itu autokrasi’, kata Rahman

‘Kalau seorang saja ‘siok’ buat keputusan, itu autokrasi’, kata Rahman

Abdul Rahman Dahlan berkata keputusan kerusi ditandingi Umno Tuaran perlu dibincangkan bersama, bukan ditentukan seorang sahaja.

Semalam, FMT melaporkan Bung Moktar Radin berkata Umno Sabah bersedia tawar DUN Sulaman untuk ditandingi Abdul Rahman Dahlan pada PRN.
PETALING JAYA:
Timbalan Ketua Umno Sabah Abdul Rahman Dahlan menegaskan sebarang keputusan berkait kerusi bakal ditandingi pada PRN termasuk di Tuaran perlu dibincangkan bersama bukan ditentukan seorang sahaja.

Ketua Umno Tuaran itu berkata penentuan kerusi akan ditandingi oleh bahagian berkenaan akan dibuat mereka dan Presiden Umno Zahid Hamidi.

Tegasnya, keputusan itu bukan keputusan sembarangan oleh seorang individu tanpa ada perbincangan dengan Umno Tuaran yang diketuainya.

“Autonomi bukan bermakna satu orang saja membuat keputusan. Kalau seorang saja siok-siok membuat keputusan, itu bukan autonomi, itu autokrasi.

“Jadilah demokrat, bukan autokrat,” kata ahli majlis kerja tertinggi Umno itu di Facebook.

Tanpa memetik nama pemimpin tertentu, kenyataan Rahman itu menyusul laporan FMT Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin berhubung kesediaan parti berkenaan meletakkan bekas menteri persekutuan terbabit bertanding di salah satu daripada empat DUN bawah Parlimen Tuaran pada PRN.

Selain Sulaman yang disandang Ketua Menteri Hajiji Noor, DUN lain adalah Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu. Pada PRN 2020, Pantai Dalit dimenangi Barisan Nasional (BN) menerusi Jasnih Daya yang tiga tahun kemudian keluar Umno untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Bung berkata kedudukan Rahman sebagai ketua Umno Tuaran dan berasal dari Sulaman mungkin melayakkannya mewakili BN di kawasan terbabit.

Untuk rekod, Rahman pernah menjadi Ahli Parlimen Kota Belud dari 2008 hingga 2018 sebelum berpindah ke Parlimen Sepanggar pada PRU14, namun beliau kalah kepada calon Warisan Azis Jamman.

Pada PRU15, beliau kembali ke Kota Belud tetapi sekali lagi tewas. Kali itu di tangan Isnaraissah Munirah Majilis daripada Warisan dengan majoriti 4,582 undi.

Bung mengulas laporan media Selasa lalu memetik kenyataan Rahman yang sedia memberi laluan jika parti memutuskan tidak mencalonkannya pada PRN tahun ini.

Namun, bekas menteri persekutuan itu menjelaskan beliau akan mempertimbangkan jika parti memerlukannya bertanding.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.