4 dikait bekas exco Johor gagal semak perintah lucut aset RM3.2 juta

4 dikait bekas exco Johor gagal semak perintah lucut aset RM3.2 juta

Mahkamah Rayuan berkata semakan keputusan mahkamah sama hanya boleh dibenarkan dalam keadaan luar biasa yang terhad.

Court of Appeal
Mahkamah Rayuan tolak permohonan semakan oleh perunding hartanah Amir Shariffuddin Abd Raub, Mazita Mahmod, Hartini Jalani, dan JLA Motorsports Sdn Bhd atas perintah pelucutan aset berjumlah RM3.2 juta.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menolak permohonan semakan perintah pelucutan aset berjumlah RM3.2 juta oleh tiga individu dan sebuah syarikat dikaitkan dengan bekas exco Johor Abdul Latif Bandi.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hashim Hamzah berkata, kepentingan awam menuntut sesuatu keputusan mahkamah mencapai tahap muktamad.

Hashim yang bersidang bersama Hakim Wong Kian Kheong dan Noorin Badaruddin, berkata semakan keputusan oleh mahkamah sama bawah Kaedah 105 Kaedah-kaedah Mahkamah Rayuan 1994 hanya boleh dibenarkan dalam keadaan luar biasa yang terhad.

“Ini termasuk pelanggaran keadilan semula jadi, kegagalan keadilan, dan kegagalan koram,” katanya.

Namun, beliau menjelaskan permohonan kali ini hanya menyentuh merit keputusan yang dibuat panel Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Pada 17 Julai tahun lalu, satu panel Mahkamah Rayuan dianggotai Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim, Zaini Mazlan, dan Azmi Ariffin menolak rayuan enam perayu dalam kes ini.

Mereka terdiri daripada Latif, anaknya Ahmad Fauzan Hatim, perunding hartanah Amir Shariffuddin Abd Raub, Mazita Mahmod, Hartini Jalani, dan JLA Motorsports Sdn Bhd.

Pada awal prosiding hari ini, peguam Abdul Rahim Ali memaklumkan mahkamah bahawa Latif menarik diri daripada kes ini, manakala anaknya tidak mengemukakan permohonan sebagai pemohon.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahruddin Wan Ladin, Zander Lim, dan Asraf Tahir.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Zaidi berkata perayu gagal membuktikan bahawa Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam membuat penemuan terhadap isu-isu yang dibangkitkan oleh peguam mereka.

Pada 27 Mei 2019, Mahkamah Sesyen menolak permohonan pendakwaan untuk melucutkan hak aset yang disita dan mengarahkan supaya aset itu dikembalikan kepada pemiliknya.

Bagaimanapun, pada 19 Dis 2021, Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan itu dan memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan semua aset terbabit mempunyai kaitan dengan hasil aktiviti haram.

Antara aset disita ialah 20 kenderaan mewah termasuk Mercedes-Benz G63 AMG, Bentley Continental GT Coupe, Land Rover Sport, Nissan Skyline, Toyota Vellfire, Honda HRV, dan motosikal Harley Davidson.

Turut dirampas 36 jam tangan mewah, 32 beg tangan mewah, 14 barang kemas, serta wang tunai dalam mata wang Malaysia, Singapura, Hong Kong, Kuwait, Korea, dan Jepun.

Dalam kes berasingan, Latif, anaknya Fauzan, dan Amir Shariffuddin dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 2022 daripada pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Keputusan itu dikekalkan Mahkamah Tinggi pada 2023.

Walaupun pendakwaan menarik balik rayuan terhadap pembebasan Latif, kes terhadap Fauzan dan Amir Shariffuddin masih diteruskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.