Labur penjimatan subsidi untuk pertumbuhan ekonomi mampan, cadang ahli ekonomi

Labur penjimatan subsidi untuk pertumbuhan ekonomi mampan, cadang ahli ekonomi

Mewujudkan kerja baharu dan cipta nilai antara kesan riak pelaburan dalam sektor beri pulangan jangka panjang, kata ahli ekonomi.

mrt
Carmelo Ferlito berkata pelaburan dalam pembinaan rel boleh meningkatkan ketersambungan sekali gus membangunkan kawasan kurang membangun.
PETALING JAYA:
Dua ahli ekonomi mencadangkan kerajaan melaburkan dana penjimatan subsidi bersasar bahan bakar kepada sektor memberi pulangan jangka panjang yang memanfaatkan rakyat.

Mohamad Idham Md Razak dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencadangkan kerajaan melabur dalam bidang ekonomi hijau manakala CEO Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito pula menggesa pelaburan difokus kepada sektor pengangkutan berkesan seperti rel.

Kedua-duanya berpandangan sektor terbabit mempunyai kesan riak seperti mewujudkan peluang pekerjaan baharu, mencipta nilai dan membangunkan kawasan kurang membangun.

Idham berkata sektor hijau yang turut meliputi bidang tenaga baharu juga boleh memanfaatkan isi rumah menerusi insentif penggunaan solar sebagai alternatif penjimatan bil elektrik.

Idham Md Razak.
Mohamad Idham Md Razak.

Menurut pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Ekonomi & Kewangan UiTM itu, pelaburan berkenaan juga dapat meningkatkan keyakinan pelabur dengan penyediaan insentif cukai atau pembangunan kemudahannya.

“Penjimatan daripada subsidi bersasar RON95 yang dijangka antara RM5 bilion hingga RM7 bilion setahun boleh diagih untuk subsidi pendidikan teknikal, kesihatan percuma atau insentif cukai untuk syarikat hijau.

“Namun, bagi pertumbuhan jangka panjang mungkin lebih mampan jika penjimatan subsidi dilabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) atau ekonomi hijau,” katanya kepada FMT sambil menjelaskan kesannya boleh mewujudkan pekerjaan baharu kepada rakyat.

Mohamad Idham berkata tindakan jangka panjang itu menyokong inisiatif segera kerajaan dalam mengurangkan tekanan pelaksanaan subsidi bersasar termasuk RON95 seperti perluasan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara)

Jelasnya, bagi memastikan 85% rakyat tidak terjejas dengan langkah rasionalisasi itu, Putrajaya perlu memastikan penerimanya terdiri dari yang benar-benar memerlukan bagi mengelakkan penipuan dan kos pentadbiran tinggi.

“MyKad atau pangkalan data bersepadu boleh mengurangkan isu ini dengan mengintegrasikan data pendapatan dan perbelanjaan.

“Penerimaan rakyat boleh ditingkatkan melalui kempen kesedaran yang menjelaskan manfaat jangka panjang contohnya subsidi bersasar demi jaminan kualiti perkhidmatan kesihatan lebih baik,” katanya.

Carmelo Ferlito
Carmelo Ferlito.

Ferlito pula berkata pembiayaan projek pembinaan rel yang mampu meningkatkan ketersambungan bandar dengan luar bandar mungkin tidak memerlukan pembiayaan sebaliknya dibiayai swasta melalui model rel keusahawanan (ERM) dicadangkan Peter Newman dari Universiti Curtin.

Menurutnya, kerajaan berperanan memastikan pemerolehan tanah bagi pelaksanaan projek itu dan menetapkan rangka kerja peraturan.

“Menurut Newman, ERM boleh ditakrifkan pendekatan merancang dan menyampaikan infrastruktur rel berdasarkan prinsip komersial, dibiayai melalui pembangunan tanah serta dibina, dimiliki, dikendalikan dan dibiayai sektor swasta.

“Pendekatan ini juga memerlukan peralihan fokus daripada kutipan hasil melalui cukai kepada penciptaan nilai,” katanya.

“ERM membantu Malaysia merangka semula landskap pengangkutan bandar dan luar bandar, sekali gus membuka peluang pembangunan di kawasan kurang membangun.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.