
Sebelum ini, pangkalan itu dicadangkan dibina di Samalaju, Bintulu, namun dipindahkan atas pelbagai faktor.
Zulhelmy berkata, kawasan baharu itu sesuai serta strategik menjadi transit kapal selam susulan keadaannya tidak landai dan mempunyai kedalaman laut 14m secara semula jadi, lapor Bernama.
“Untuk masuk sebagai transit kapal selam, boleh tiada masalah. Namun, untuk kita aturkan kapal selam itu dari sini sebagai pangkalan operasi hadapan, saya boleh katakan ada kemungkinannya.
“Untuk pelabuhan kapal, kita memang akan tengok kesesuaiannya sama ada kita boleh berlabuh untuk ulang bekal dan sebagainya,” katanya.
Katanya, kajian kebolehlaksanaan pembinaan markas itu akan dijalankan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) selaku tuan tanah tapak projek berkenaan yang dijangka siap suku pertama tahun depan.
“Kajian kini sedang dilaksanakan SEDC dan untuk proses pembinaan ia memakan masa kira-kira tiga tahun selepas mendapat kebenaran daripada Kementerian Pertahanan.
“Kita perlu selaraskan dengan perbelanjaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan ini menjadi projek keutamaan kepada ATM… Sekiranya mendapat kebenaran awal, kita boleh mula pembinaan lebih awal lagi,” katanya.